Pengembala dalang kes curi lembu - Polis

Iklan
Keratan laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohamad Roy

BATU GAJAH - Pengembala lembu antara dalang yang disyaki terlibat dalam kes kecurian haiwan ternakan di sekitar Batu Gajah.

Perkara itu susulan tangkapan polis ke atas empat lelaki tempatan pada Jumaat ketika kumpulan berkenaan melakukan urusan jual beli haiwan ternakan tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, hasil keterangan, kesemua mereka berusia 25 hingga 42 tahun itu mengaku bekerja sebagai penggembala lembu.

"Ketika ditahan, mereka baru sahaja selesai melakukan urusan jual beli haiwan ternakan yang dicuri itu.

Iklan

"Siasatan mendapati, ternakan itu dijual kepada orang perseorangan di kawasan Perak Tengah dan Kampar," katanya ketika dihubungi pad Ahad.

Beliau berkata, hasil penahanan suspek, polis turut merampas dua ekor lembu disyaki dicuri.

Iklan

Katanya, semakan dibuat, kesemua suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau bersabit kes curi haiwan ternakan.

"Suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin ini (esok) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan sebaik sahaja siasatan kes ini dilengkapkan," katanya.

Sinar Harian melaporkan, sekumpulan penternak di sekitar Batu Gajah dihantui kebimbangan dengan kegiatan sindiket mencuri lembu dan kerbau yang dikatakan semakin menjadi-jadi.

Kegiatan yang berlarutan sejak tiga tahun lalu itu mengakibatkan penternak kerugian hingga ratusan ribu ringgit.