KOTA BHARU - Kesungguhan dua sahabat berulang-alik dari Jeli ke Pasar Selayang, Kuala Lumpur setiap hari tiga tahun lalu berbaloi apabila mampu menikmati hasil pertanian mencecah RM10,000 sebulan.
Nik Fazirul Fakkri Nik Him, 27, dan rakannya, Mohamad Faezwan Hanafi, 27, ketika itu membuat keputusan untuk menghantar cili ke pasar berkenaan setiap hari selepas hasil dituai tidak boleh dijual di Kelantan berikutan lambakan tanaman berkenaan.
Nik Fazirul memberitahu, mereka tetap nekad menempuh jarak perjalanan 373 kilometer setiap hari dalam tempoh enam jam.
"Kami bertolak pada jam 1 pagi untuk menghantar cili dan kemudian bergerak balik jam 9 pagi untuk kerja-kerja di kebun dan persediaan pada esoknya," katanya.
Jelasnya, usaha itu bermula selepas mereka baru sahaja tamat latihan praktikal di sebuah universiti tempatan dan terpaksa bersaing dengan pemilik ladang yang lebih besar.
Nik Fazirul memberitahu, keputusan itu juga membawa dia dan Mohamad Faezwan ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah tahun lalu.
"Alhamdulillah, itu semua permulaan yang membolehkan kami terus maju dalam bidang pertanian dengan menanam timun, rock melon dan nanas," katanya.
Berkongsi cerita, ketika menyambung pengajian dalam bidang Diploma Teknologi Akultur di Politeknik Jeli di sini, mereka sudah diajar mengenai kemahiran penanaman dan peluang dalam bidang itu.
Tambah Nik Fazirul, banyak cabaran yang mereka lalui untuk berjaya tetapi itu semua tidak mematahkan semangat dan terus mencari peluang.
"Antara cabaran yang pernah membuatkan kami hampir kecewa apabila dunia diserang pandemik Covid-19," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, mereka bertemu pihak pengurusan Politeknik dan bantuan serta galakan membolehkan dua sahabat karib itu memulakan jualan di Pasar Jeli.
Berpegang kepada kehendak dan percaya bahawa pertanian juga satu perniagaan, kedua-dua mereka membuka kios jagung, aiskrim dan burger.
Berkat usaha yang tak pernah kenal erti jemu, Nik Fazirul dan Mohamad Faezwan mampu berbangga kerana pendapatan mencecah sehingga RM400,000 bermula dengan penanaman cili.
"Kami kini sedang memulakan tanaman nanas di atas tanah seluas 1.2 hektar di Jeli dan alhamdulillah musim panas tidak menjejaskan tanaman," katanya.
Nik Fazirul juga masih tidak jemu menuntut ilmu dan mahu berjaya dalam akademik dengan menyambung pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Kelantan.