KUALA KRAI - Musim pokok riong antara bulan Mac hingga Mei dalam setahun dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rohaya dollah, 43, untuk menambah pendapatan keluarga.
Pokok buluh hutan itu yang juga dikenali sebagai pokok penyapu sangat dikenali di sini kerana boleh memberi pendapatan sampingan kepada peniaga dan pembuat penyapu.
Rohaya berkata, walaupun proses menyiapkan penyapu daripada pokok itu rumit namun pulangannya agak lumayan kerana hanya bermodalkan tali rafia berharga RM10.
"Saya tidak menang tangan memenuhi permintaan orang ramai setiap kali tiba musimnya kerana penyapu ini lebih lasak dan tahan lama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Tias di sini.
Menurut Rohaya, pada permulaannya dia hanya belajar dengan bapanya, Dolah Deraman, 83, tetapi untuk kegunaan sendiri.
Bagaimanapun katanya, 15 tahun lalu dia belajar secara serius dengan seorang warga Thailand yang menetap di kampung itu untuk mencari rezeki.
"Alhamdulillah dalam tempoh setahun, saya sudah mahir dan mampu mengambil tempahan daripada penduduk sekitar," jelasnya.
Berkongsi cara memproses penyapu, Rohaya berkata, pokok buluh riong dijemur selepas diambil di hutan bagi mengeluarkan habuknya.
Jelasnya, proses itu mengambil masa tiga hari jika cuaca panas sebelum kulit buluh dikoyakkan bagi mengeluarkan batangnya.
"Proses keseluruhan siap dalam tempoh seminggu termasuk mengikat dengan teknik yang betul," katanya.
Tambah Rohaya, kelebihan penyapu pokok riong ialah ketebalannya tetapi jika tersilap ikatan, ia akan cepat rosak.
Penyapu pokok riong dijual pada harga RM15 di sekitar Kuala Krai.