IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Perak pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad masih kukuh dengan sokongan majoriti daripada 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Perkara itu dinyatakan Saarani dalam satu sidang media khas di sini pada Isnin sekali gus menolak dakwaan pimpinan pembangkang bahawa wujud gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.
Pengerusi Barisan Nasional negeri itu berkata, tindakan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria menyebut kononnya terdapat beberapa ADUN kerajaan bertemunya hanya untuk mewujudkan persepsi negatif.
"Saya dan rakan-rakan Exco serta barisan ADUN sebulat suara menyatakan komitmen untuk mendukung kestabilan dalam kerajaan sekaligus menafikan kononnya wujud usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada.
"Komitmen secara kolektif ini bukan sahaja atas pertimbangan politik, tetapi mengambil kira tuduhan dan persepsi negatif yang sengaja dibuat ini boleh menggugat kepercayaan para pelabur sekaligus mengundang risiko kepada perjalanan pembangunan negeri," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, semua 31 ADUN kerajaan kecuali ADUN Keranji, Koo Haai Yen yang belum sampai dan ADUN Kepayang, Nga Kor Ming merangkap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang berada di Jepun.
Saarani berkata, sebagai ketua pembangkang, setiap kenyataan yang dibuat perlu bertanggungjawab dengan mengambil kira kesan kepada ekonomi negeri bukan menggambarkan kerajaan negeri tidak stabil.
Tegasnya, tidak ada mana-mana ADUN kerajaan yang ingin bertukar sokongan kepada pembangkang tambahan pula mereka terikat dengan akta berkaitan antilompat parti.
"Kerajaan negeri Perak bukan sahaja stabil malah semakin kukuh dengan didorong semangat kebersamaan sifat bertanggungjawab dan kesungguhan untuk mencapai dalam Perak Sejahtera 2030
"Saya menasihatkan semua pihak terutama ketua pembangkang untuk berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan polemik yang tidak mendatangkan manfaat kepada negeri," katanya.
Dalam pada itu, Saarani tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis kerana kenyataan dibuat itu menggugat keselamatan dan berbaur hasutan.
Menerusi laporan media, Razman mendedahkan bahawa beberapa ADUN kerajaan bertemunya di sebalik khabar angin bahawa kerajaan negeri Perak akan tumbang pada bulan Julai ini.
Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol bagaimanapun enggan mendedahkan nama ADUN berkenaan dan mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Kerajaan negeri Perak yang ditadbir oleh parti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mempunyai sokongan 33 orang ADUN manakala pembangkang yang diterajui PN mempunyai 26 ADUN.
ARTIKEL BERKAITAN:
MB Perak akan jelas isu ADUN lompat parti hari ini
'Sudah-sudahlah nak jatuhkan kerajaan'
Kerjasama dengan UMNO tak pinggirkan Amanah - Mujahid
Kerajaan Perak goyah: Razman dicabar kemuka bukti
Tak perlu pinda, Pelan Perak Sejahtera selari dasar Malaysia Madani