SHAH ALAM -"Tidak ada sebarang wajah potret pemimpin ataupun hiasan bersifat kekal dalam Dewan Merdeka," kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi hantaran video berdurasi dua minit satu saat di Facebooknya pada Isnin, beliau menjelaskan, Dewan Merdeka adalah milik Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang terbuka dari segi penyewaan kepada orang ramai dan sesiapa sahaja ingin menganjurkan apa juga bentuk program.
"Kalau dalam konteks Perhimpunan Agung UMNO (PAU) maka UMNO akan menghiaskan ataupun WTC menghiaskan Dewan Merdeka dengan bendera UMNO termasuklah potret pemimpin-pemimpin UMNO yang lampau.
"Tetapi dalam majlis - majlis lain, tidak ada sebarang pun gambar potret pemimpin-pemimpin dalam Dewan Merdeka. Begitu juga Konvensyen Nasional dalam Kerajaan Perpaduan.
"Tidak ada istilah nak tutup mana-mana potret. Tidak ada istilah nak mengalihkan mana-mana potret dan mana-mana pemimpin kerana memang di dalamnya tidak ada sebarang potret ataupun apa juga hiasan kekal," katanya.
Pada Ahad, Hishammuddin menyifatkan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) minggu lalu sebagai janggal.
Menurut Hishammuddin, antaranya ia diadakan di Dewan Merdeka, iaitu rumah UMNO sendiri selain mendakwa gambar-gambar bekas pemimpin UMNO yang telah banyak berkorban untuk perjuangan parti 'dihilangkan' dalam Dewan Merdeka semasa konvensyen.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, pemasangan gambar bekas pemimpin UMNO semuanya adalah bergantung pada cita rasa dan kehendak penganjur yang mahu menjalankan sesuatu majlis.
Beliau dengan nada sinis menyatakan mungkin ada pemimpin yang sudah lama tidak masuk ke Dewan Merdeka sehingga menyebabkan mereka membuat dakwaan sedemikian.
"Mungkin ada pemimpin-pemimpin yang dah lama tak masuk Dewan Merdeka ni. Mereka lupa agaknya tapi tak apalah.
"Yang penting penjelasan ini seharusnya menutup segala mulut-mulut sengaja mahu mencetuskan keraguan dan mempunyai niat jahat untuk memfitnah kepimpinan seolah kita tidak menghargai ataupun melupakan jasa pemimpin-pemimpin lampau," ulasnya.