NAIB juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal perlu mengakui kesilapan yang telah membantu Manchester City sekali lagi mengekalkan kejuaraan teratas Inggeris tersebut pada musim ini.
Namun pada masa sama penjaga gol The Gunners, Aaron Ramsdale menegaskan kelab London itu tidak perlu malu sebaliknya masih boleh berbangga apabila mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan selepas kali terakhir beraksi dalam kejuaraan berprestij itu pada 2017.
Walaupun Arsenal mendahului liga selama hampir 250 hari, skuad City berpengalaman sentiasa menjejaki barisan muda Mikel Arteta, sebelum mengesahkan kejuaraan setelah Arsenal tewas mengejut 0-1 kepada Nottingham Forest.
Katanya, pasukan itu perlu serius melihat lebih mendalam punca cabaran kejuaraan EPL berakhir walaupun selesa dengan fakta kembali ke kelompok empat teratas buat kali pertama sejak 2016.
"Kami memberikan tekanan kepada Manchester City sepenuhnya, yang telah menang lima kali dalam tempoh enam tahun. Kekecewaan tidak akan datang daripada tidak memenangi liga, sebaliknya dari bagaimana semuanya berakhir.
"Kami benar-benar berbangga dengan diri sendiri, namun kami perlu melihat cermin dan harus menjadi orang pertama mengakui kesilapan kami dan di mana silap kami, kerana dari situ lkami belajar dan menjadi lebih baik," kata Ramsdale.
Sebagai rekod, Arsenal akan menamatkan musim dengan perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Emirates hujung minggu depan.
Mengenai aksi menentang Wolves, Ramsdale berkata, matlamat Arsenal adalah untuk menamatkan musim ini dengan cemerlang untuk penyokong The Gunners.
"Ia akan bermakna segala-galanya adalah untuk melihat kebangkitan semula Arsenal, yang saya tahu ia akan menjadi tugas sukar untuk penyokong selepas insiden di Nottingham Forest.
"Kami perlu mempamerkan persembahan dan kembalikan semula senyuman di wajah penyokong kami. Mereka boleh pergi meninggalkan musim ini dengan berbangga dengan kami," katanya.