PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan kejayaan pasukan itu tidak akan lengkap sekiranya tidak memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu terus cemerlang mengemudi City selepas meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali kelima dalam enam tahun.
Rekodnya dengan 11 kejuaraan liga dalam 15 musim sebagai pengurus Barcelona, Bayern Munich dan kini City bagaikan sukar untuk menafikan kredibiliti Guardiola sebagai pengurus pasukan terbaik di dunia ketika ini.
Malah, Guardiola mampu untuk membawa City ke tahap yang lebih tinggi dengan memenangi Piala FA dan kemudian Liga Juara-Juara untuk melengkapkan treble.
"Saya rasa kami telah melakukan sesuatu yang luar biasa tetapi untuk dianggap antara yang terhebat kami perlu memenangi Liga Juara-Juara, jika tidak ia tidak lengkap.
"Kami menang banyak tetapi tidak boleh menafikan bahawa ia boleh menjadi tidak adil untuk memenangi Liga Juara-Juara untuk memberi nilai kepada apa yang telah anda lakukan," katanya.
City memintas pencabar terdekat, Arsenal dalam beberapa perlawanan terakhir selepas mengekori pasukan itu dengan jurang lapan mata beberapa minggu lalu.
"Separuh pertama liga, Arsenal berjaya meraih 50 mata dan saya merasakan mereka telah melakukan sesuatu yang istimewa.
"Tetapi, kami tidak berputus asa dan perlu memenangi setiap perlawanan kerana mengetahui ia adalah mustahil jika kami tidak melakukannya," katanya.
Ini adalah kali ketiga Guardiola memenangi tiga kejuaraan liga berturut-turut, selepas melakukannya di La Liga pada musim 2009-11 dan di Bundesliga dari 2014-16.