Pentadbir kena neutral, patuh kepada kerajaan semasa

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan di hadapan pegawai-pegawai kerajaan semasa sesi perjumpaan dan berinteraksi dengan pegawai dari peringkat pengurusan dan profesional, di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Para pentadbir harus bersikap neutral dan patuh kepada kerajaan semasa yang dipilih rakyat walaupun mempunyai pendirian politik tersendiri bagi memastikan pentadbiran negara baik, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ini adalah selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini yang mana kerajaan semasa adalah dipilih oleh rakyat.

Iklan
Iklan

Katanya, bukan mudah untuk pegawai kerajaan mengalih kesetiaan kepada kerajaan baharu setelah 61 tahun ditadbir kerajaan dari parti yang sama namun ia boleh dilakukan sekiranya kerajaan semasa mentadbir secara adil dan bertimbang rasa.

Dr Mahathir berkata kesetiaan 'berbelah bagi' pegawai kerajaan tidak akan menyumbang kepada kelicinan pentadbiran negara.

Iklan

"Kalau negara tidak ditadbir dengan baik bukan hanya negara yang rugi tetapi kita juga yang rugi," katanya pada Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Katanya, kerajaan yang sebelum ini mentadbir negara selama 61 tahun digantikan oleh rakyat kerana kesilapan dan perbuatan yang tidak baik yang dilakukan mereka.

Iklan

"Kalau itu tidak berlaku, tidak mungkin rakyat pilih kerajaan lain. Bukan sangat sebab rakyat sokong parti-parti lawan yang berlawan dengan parti pemerintah tetapi banyak kesalahan yang dilakukan oleh parti pemerintah yang menyebabkan rakyat menolak parti pemerintah,” katanya.

Menyorot mengenai soal kesetiaan, menurut Dr Mahathir ia juga pernah dihadapi negara ketika awal kemerdekaan yang mana ramai yang tidak percaya dengan kebolehan anak tempatan untuk mentadbir sendiri negara ini.

Namun sebaliknya negara telah membuktikan bahawa anak tempatan dapat mentadbir negara ini lebih baik daripada penjajah British.

"Ini membuktikan tidak benar bahawa kita tiada kebolehan tetapi kita hanya tidak diberi peluang pada zaman British," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan hari ini mungkin akan memberikan arahan yang baharu namun sekiranya arahan itu bertentangan dengan undang-undang, ia tidak perlu dipatuhi.

"Kalau ia mengikut peruntukan undang-undang ia menjadi tanggungjawab para pentabir untuk melaksana arahan dan dasar kerana ini adalah cara demokrasi," katanya. - Bernama