SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mendakwa bahawa faktor politik negara antara penyebab yang menjadikan negara ini ketinggalan dalam bidang sukan.
Penasihat Buruh Antarabangsanya, Callistus Antony D Angelus berkata, faktor berkenaan terdiri daripada dasar yang lemah, rasuah, politik perkauman dan agama.
Bagaimanapun beliau menyatakan kesan jelas daripada rasuah dapat dilihat dengan jelas berdasarkan pencapaian sukan terdahulu.
"Prestasi Malaysia dalam acara pelbagai sukan seperti pasukan bola sepak Olimpik 1972 dan 1980, pasukan hoki Piala Dunia 1975 dan pelbagai skuad pemenang Piala Thomas mewakili Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.
"Kemerosotan itu tidak berlaku dalam sekelip mata dan begitu juga kebangkitannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, Malaysia turut berhadapan dengan isu golongan berpendapatan rendah (B40) yang menjadi pendorong utama terhadap kemerosotan tersebut.
Justeru, D Angelus menegaskan satu analisis mesti dijalankan bagi menyelesaikan masalah yang terjadi.
"Menteri Sukan, Hannah Yeoh dan semua menteri dan pegawai kerajaan yang lain harus menjauhkan diri daripada melihat segala-galanya daripada prisma garis politik parti dan partisan.
"Sebaliknya menumpukan pada menganalisis perkara berdasarkan fakta dan mempunyai keberanian politik untuk menghadapi realiti yang sukar.
"Perancangan tidak seharusnya tertumpu pada jangka masa terdekat sahaja tetapi juga untuk jangka masa yang lebih panjang,” ujarnya.
Baru-baru ini Hannah menyatakan pencapaian Malaysia yang muncul juara keseluruhan Sukan Asia Tenggara (SEA 2017) adalah tidak realistik memandangkan ketika itu negara adalah tuan rumah kepada temasya sukan dwi-tahunan tersebut.
Justeru, beliau berkata, Malaysia tidak boleh anggap tahun itu sebagai pencapaian paling gemilang.