Pentas Eropah gamit Brighton

Iklan
de Zerbi

KEJAYAAN Brighton & Hove Albion mara ke pentas kelab Eropah musim depan disifatkan lebih berprestij daripada perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Itu nada pengendali Brighton & Hove Albion, Roberto de Zerbi selepas The Seagulls membenam cabaran Southampton 3-1 di Stadium Komuniti American Express.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya keputusan ini lebih berprestij daripada bersaing dengan enam kelab besar Liga Perdana Inggeris bagi pasukan seperti kami,” kata De Zerbi.

Brighton mengesahkan penampilan di pentas Eropah musim depan buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan Southampton, dengan penyerang remaja The Seagulls, Evan Ferguson menjaringkan dua gol.

Iklan

Kemenangan ke-18 liga musim ini tersebut menyalakan impian Seagulls bagi mengesahkan tempat sekurang-kurangnya dalam satu saingan dari tiga kejuaraan kelab Eropah.

Anak buah De Zerbi kini memerlukan satu mata daripada dua perlawanan menentang Manchester City dan Aston Villa untuk memastikan tempat keenam dan tempat dalam Liga Europa musim depan.

Iklan

Perbezaan gol unggul Brighton bermakna berkemungkinan besar untuk menamatkan saingan di hadapan Aston Villa, yang berada di tempat ketujuh dengan baki satu perlawanan, walaupun Brighton kekal dengan 61 mata pada penghujung musim.

Sebagai rekod De Zerbi, yang meninggalkan Shakhtar Donetsk di Ukraine musim panas lalu, tiba di Brighton pada September lalu selepas Graham Potter berhijrah ke Chelsea.

Musim cemerlang Brighton menyaksikan De Zerbi dikaitkan dengan beberapa kelab besar, termasuk Tottenham Hotspur, namun pengendali dari Itali berusia 43 tahun itu bertegas mahu kekal lama di Brighton.