MOSCOW - Jurutera perlombongan Australia, Jason Bernard Kennison, peserta ekspedisi ke Gunung Everest, meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun dari puncak tertinggi dunia itu, lapor Sputnik yang memetik laporan media.
Kennison, 40, meninggal dunia di kawasan dipanggil Balkoni pada ketinggian melebihi 8,000 meter (26,200 kaki) pada Jumaat, lapor Himalayan Times, memetik pengarah urusan Asian Trekking, Dawa Steven Sherpa.
Selepas warga Australia itu mula berkelakuan tidak normal di Puncak Selatan, dua Sherpa membawanya ke Balkoni, di mana beliau rebah, kata laporan itu, sambil menambah bahawa mayatnya masih berada di lokasi.
Pada 2006, Kennison dilaporkan cedera parah dalam kemalangan jalan raya dan terpaksa menghabiskan masa bertahun-tahun dalam pemulihan sehingga perlu belajar cara berjalan. Lelaki itu mensasarkan untuk mengumpul dana untuk membantu orang ramai mengalami nasib sama sepertinya, kata akhbar itu.
Seorang lagi pendaki dari Malaysia, Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia di Gunung Everest juga pada Jumaat, kata akhbar itu memetik pegawai.
Sekurang-kurangnya 300 orang maut ketika mendaki gunung tertinggi di dunia sejak permulaan rekod, dengan jumlah itu meningkat setiap tahun. Mayat kira-kira 200 orang pula tidak pernah dibawa turun dari Gunung Everest. - Bernama
TAG: gunung everest, dua kematian pada Jumaat, pendaki australia, pendaki malaysia