Kestabilan politik rancak tarik pelaburan - PM

Iklan
Anwar menjawab soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan sempena Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas dan menyakinkan telah menarik pelaburan ke dalam pelbagai sektor ekonomi yang lebih rancak pada suku pertama 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama 2023 adalah berjumlah RM71.4 bilion iaitu peningkatan 60 peratus daripada suku pertama 2022 yang mencatatkan RM44.7 bilion.

Iklan
Iklan

"Saya rasa kestabilan politik itu sesuatu yang menyakinkan sehinggakan perlaburan lebih rancak sekarang daripada dulu, (apa) yang penting bukan sekadar pengumuman dan Memorandum Persefahaman (MoU) tetapi pelaksanaannya.

"Ini sepertimana pelaburan daripada Tesla dalam kenderaan elektrik (EV), Amazon Web Services (AWS) bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037, Rongsheng Petro Chemical dan Geely sebagai permulaan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keyakinan pelabur dan dasar ekonomi utama Malaysia.

Anwar berkata jika dasar ekonomi negara mengelirukan, maka pertumbuhan Malaysia tidak akan dapat mengatasi pertumbuhan Indonesia, Vietnam dan China.

Iklan

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023, lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (5.0 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

Pertumbuhan itu juga adalah lebih kukuh berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk 2023 iaitu 4.0 peratus hingga 5.0 peratus, katanya.

"Kalau dasar (kita) celaru, tidak mungkin pelaburan datang dan pelaburan ini serius sebab sebulan selepas ke China, Geely datang bukan saja melancarkan Proton tapi juga mencadangkan supaya disegerakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjong Malim,” katanya.

Anwar berkata keyakinan terhadap pengurusan ekonomi kerajaan juga terbukti apabila agensi penarafan kredit Fitch (Februari 2023) dan Moody’s (April 2023) mengekalkan penarafan kredit Malaysia.

Sementara itu mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau berkata penyelesaian dengan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) melibatkan US$1.8 bilion akan diteruskan.

"Seperti semua tahu Putera Mahkota Abu Dhabi (Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan) hadir (di Malaysia) sekarang untuk meneruskan langkah-langkah perbincangan termasuk pelaburan,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian 1MDB adalah antara usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan tata kelola yang menghasilkan kemajuan positif. - Bernama