LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan berlangsung esok hingga 27 Mei ini dijangka mampu mencapai janji niaga sehingga RM18 bilion.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, daripada jumlah itu RM10 bilion adalah melibatkan Surat Setuju Terima (LoA) antara Kementerian Pertahanan dengan syarikat berkaitan pertahanan.
"Kebanyakan yang akan kita tandatangani adalah LoA dan sekiranya dah capai kata sepakat dan beberapa lagi perolehan yang dipersetujui, kita akan tandatangani untuk memuktamadkan.
"Jadi hasil penganjuran LIMA '23 kali ini dari segi nilai komersial, Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Pengangkutan adalah hasil yang baik dan akan beri pulangan yang baik kepada negara dan industri tempatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau tapak pameran segmen maritim LIMA ’23 di Resort World Langkawi, di sini pada Isnin.
Menurut Mohamad, penyertaan LIMA '23 amat menggalakkan dan memberi peluang syarikat tempatan dan luar negara dari pelbagai negara mempamerkan teknologi dan senjata serta aset.
Ia termasuk penyertaan daripada lima negara yang terkenal dengan pertunjukan udara iaitu Rusia, Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Ada 119 kapal terbang termasuk statik dan aerobatik dan 40 kapal laut termasuk kapal Malaysia akan dipamerkan untuk tontonan umum termasuk dari negara-negara lain.
"Jadi sambutan amat baik dan ada negara yang nak hantar penyertaan di saat akhir terpaksa kita tidak menerima penyertaan mereka kerana mengambil kira beberapa perkara termasuk tempat," katanya.
Setelah kali terakhir diadakan empat tahun lepas, LIMA '23 kembali mencuri tumpuan dengan edisi ke-16 melibatkan kira-kira 1,200 syarikat dari dalam dan luar negara pada pameran berkenaan, sekali gus menjadikan acara kali ini yang terbesar pernah diadakan. - Bernama