Tiga lelaki Thailand seludup keluar diesel didenda

Iklan
Gambar hiasan

ALOR SETAR - Tiga lelaki warga Thailand didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi dari negara ini ke Thailand.

Hakim Jean Sharmila Jesudason menjatuhi hukuman denda RM27,000 kepada Sakda Thaenkeson, 24 dan Kittisak Thongluean, 37, yang masing-masing didenda RM30,000 dan Phanuphong Yava, 23, dikenakan RM28,000.

Iklan
Iklan

Pertuduhan itu dibacakan jurubahasa dalam bahasa Thailand.

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga mereka menjalani hukuman penjara, masing-masing tujuh bulan kepada Sakda dan lapan bulan terhadap Kittisak dan Phanuphong, sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

Iklan

Mengikut pertuduhan, Sakda dituduh meletakkan bahan api diesel dalam tangki kenderaan Toyota Hilux bagi maksud supaya barangan tersebut dibawa keluar dari Malaysia melalui darat yang melebihi kuantiti iaitu berjumlah 53 liter.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong 2, Pos Imigresen Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu lebih kurang 11 pagi, 11 April lepas.

Iklan

Sementara itu, Kittisak dituduh melakukan perbuatan sama dalam kenderaan Isuzu Dmax yang juga melebihi kuantiti iaitu berjumlah 72 liter di ICQS Bukit Kayu Hitam pada 11.50 pagi, 13 April lepas.

Phanuphong pula didakwa melakukan kesalahan sama dalam kenderaan Chevrolet Colorado yang melebihi kuantiti iaitu berjumlah 61 liter di Lorong 2, Pos Imigresen Bukit Kayu Hitam di ICQS Bukit Kayu Hitam lebih kurang 11 pagi, juga pada 11 April.

Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 5(a) peraturan sama.

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga kenderaan itu berserta diesel dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dan kemudiannya dijual masing-masing dengan hasil jualan bernilai RM113.95, RM154.80 dan RM131.15 dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Mohamad Hezrin Abdul Wahab dan Muhamad Saiful Saaidin, sementara Kittisak diwakili peguam, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama