KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang telah kembali ke rahmatullah ketika misi pendakian Gunung Everest, Himalaya baru-baru ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023).
"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham, yang juga merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.
Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan semoga seorang lagi pendaki ME 2023 Muhammad Hawari Hashim, 33, seorang orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang dilaporkan hilang pada Jumaat lepas, dapat dijumpai dan diselamatkan dengan segera.
Susulan daripada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menasihati para pendaki gunung negara agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan serta mengambil langkah sewajarnya setiap kali melakukan misi pendakian gunung.
"Seri Paduka Baginda turut menyeru semua pihak dan jabatan yang berkaitan agar menyediakan satu garis panduan dalam aspek keselamatan sukan mendaki dan ia dikuatkuasakan kepada pendaki-pendaki Malaysia demi keselamatan mereka," menurut hantaran itu.
Jumaat lepas, Muhammad Hawari dilaporkan hilang di kawasan pergunungan itu ketika turun dari Kem Empat selepas menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.
Pada hari sama, Awang Askandar yang juga peserta misi disahkan meninggal dunia selepas terjatuh semasa pendakian sehari sebelumnya.
Seri Paduka turut menzahirkan pandangan bahawa Malaysia sewajarnya mempunyai satu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terlatih dan didedahkan dengan operasi SAR di kawasan berisiko tinggi dan ekstrem seperti di Gunung Everest.
"Pasukan ini boleh diaturgerakkan ke lokasi bila perlu dengan segera bagi melakukan operasi SAR," menurut hantaran itu.
Seri Paduka juga berpandangan bahawa negara perlu mempunyai pakar perubatan yang berkaitan dengan aktiviti pendakian gunung dan setiap misi pendakian mempunyai pasukan perubatan sendiri.
"Tugas pasukan perubatan itu penting untuk memeriksa dan memastikan tahap kesihatan para pendaki setiap hari serta memberi rawatan kecemasan kepada pendaki," menurut hantaran itu. - Bernama