GUA MUSANG - Sepasang suami isteri memfailkan saman terhadap Hospital Gua Musang selepas mendakwa kematian bayi mereka akibat kecuaian pihak hospital.
Kuang Choon Lai, 51, mendakwa, anak bongsunya, Kelvin Kuang Yu Zhe, berusia 12 bulan, meninggal dunia kerana gagal mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Dakwa Choon Lai dari Taman Tropika di sini, dia dan isteri membawa anak kelimanya itu ke hospital itu jam 6.40 petang, 28 Mac lalu namun selepas hampir empat jam menunggu anak mereka masih belum dirawat.
"Pada 27 Mac, anak saya demam dan mengalami cirit birit. Keesokannya saya bawa ke klinik swasta dan pihak klinik tidak mengeluarkan surat untuk mendapatkan rawatan di hospital.
"Saya hantar anak ke hospital pada jam 6.40 petang dan sehingga hampir jam 11 malam, masih tiada rawatan yang diberikan. Saya buat keputusan untuk bawa pulang anak kerana dia asyik menangis,” katanya.
Isterinya, Tuink Sui Eng, 40, pula mendakwa keadaan anaknya semakin teruk selepas dibawa pulang dan mereka kembali membawa Kelvin ke hospital.
"Tapi, segalanya sudah terlambat apabila anak saya disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan ahli keluarga pesakit dan satu siasatan awal dijalankan pada 7 April lalu.
"Hasil siasatan awal mendapati ibu bapa pesakit memohon untuk membawa bayi pulang sebelum sempat menjalani pemeriksaan oleh pegawai perubatan bertugas.
"Pesakit dibawa kembali ke hospital jam 5.30 pagi pada 29 Mac jam dalam keadaan tidak sedarkan diri. Rawatan kecemasan diberikan namun gagal menyelamatkan bayi berkenaan,” katanya.
Dr Zaini berkata, pihaknya menerima arahan daripada kementerian untuk menubuhkan satu jawatankuasa penyiasatan bebas bagi menjalankan siasatan lanjut.