Gagal kemuka resit, syarikat pengurusan kediaman dikompaun

Iklan
KPDN mengeluarkan kompaun terhadap wakil syarikat pengurusan bangunan kerana gagal kemuka resit penyelenggaran.

PUTRAJAYA - Sebuah syarikat pengurusan bangunan kediaman di Petaling Jaya, Selangor dikompaun RM2,000 selepas didapati gagal mengemukakan resit sebagai bukti pembayaran berhubung kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, siasatan telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa ke atas aduan yang dikemukakan oleh pengadu yang merupakan salah seorang daripada penduduk di bangunan kediaman tersebut pada 17 Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan mendapati pihak pengurusan bangunan berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 140 (2) Akta Pelindungan Pengguna 1999 kerana gagal memberikan resit kepada pengguna bagi perkhidmatan penyelenggaraan bangunan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tegas Azman, KPDN memberi amaran tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak sekiranya didapati gagal mengemukakan resit kepada pengguna ke atas apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan jika diminta oleh pengguna itu termasuklah dengan mendakwa mereka di mahkamah.

Iklan
Iklan

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala bagi perseorangan tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.