PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita tersepit manakala dua anaknya cedera termasuk bayi berusia lima bulan yang tercampak keluar dari lori yang mereka naiki selepas terbabit kemalangan di Jalan Kayu Ara Pasong di sini pada Isnin.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.21 petang.
Iklan
Iklan
Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis Daihatsu Delta yang terbabas sebelum masuk ke dalam parit. Seorang wanita berusia 30-an tersepit di tempat duduk penumpang.
"Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera. Seorang lagi yang turut cedera adalah bayi berusia lima bulan yang tercampak keluar dari lori, manakala pemandu berusia 30-an dipercayai bapa mereka terselamat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihak bomba mengeluarkan wanita yang tersepit menggunakan peralatan khas 'rescue tools' sebelum menghantar mangsa ke hospital menaiki EMRS untuk rawatan lanjut.
Tambah Mohd Nazri, operasi tersebut selesai pada jam 3.55 petang.