NEGARA dikejutkan dengan pemergian Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob yang terkorban semasa Misi Malaysia Everest 2023.
Malah, seluruh negara juga sedang berdoa agar seorang lagi peserta ekspedisi tersebut, Muhammad Hawari Hashim di temui semula. Dia merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Insiden itu yang pertama berlaku kepada rakyat Malaysia yang menyertai ekspedisi mendaki gunung paling tinggi dan paling berbahaya di dunia.
Pertama kali rakyat Malaysia mencipta nama ialah pada 1997, apabila M Magendran dan N Mohandas berjaya sampai ke puncak gunung tersebut.
Ia menjadikan Malaysia sebagai negara ke-21 yang telah berjaya sampai ke puncak Everest setinggi 8,848 meter atau 29,000 kaki.
Sejak itu, ramai pendaki dari negara berjaya dalam misi mereka. Ia termasuklah N Elanghovan yang menerima anugerah Malaysia Book of Records sebagai rakyat Malaysia tertua mendaki puncak Everest.
Anugerah yang diraih Elanghovan sebelum ini dipegang oleh Allahyarham Idris Said daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menawan puncak tersebut pada usia 52 tahun.
Malah Marina Ahmad yang merupakan kakitangan RTM menjadi wanita pertama Malaysia turut menempa dalam misi yang sama.
Sementara itu, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (ketika itu berusia 22 tahun) merupakan pendaki Gunung Everest termuda dari Asia Tenggara bersama temannya, Ahmad Reduan Rozali (23 tahun).
Justeru, kita amat berharap agar kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan khusus kepada mereka yang ingin ke gunung tersebut.
Selain mewajibkan perlindungan insurans, pendaki perlu sekurang-kurangnya menjalani latihan intensif selama dua tahun sebelum dibenarkan ke sana.
Mereka juga perlu mendapat perakuan khas daripada Kementerian Belia dan Sukan atau badan-badan yang terlibat dengan aktiviti tersebut supaya pendaki dari Malaysia melakukan persediaan terbaik dan keselamatan diri mereka terjamin.
Pendaki juga perlu diwajibkan mempunyai pasukan pengurusan berpengalaman supaya misi yang dilaksanakan itu mencapai kejayaan diinginkan.