GESAAN Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya pengundi parti itu menyokong calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi umpama memberi ‘bola tanggung’ kepada pihak lawan.
Meskipun beliau bukannya secara ‘direct’ meminta menyokong DAP, sebaliknya calon Kerajaan Perpaduan, namun ia tetap memberi mesej bahawa pengundi parti keramat itu kini perlu memangkah calon DAP.
Suka atau tidak, UMNO perlu sedar kempen yang dahulunya ‘no DAP’ dan kini berubah kepada ‘sokong DAP’, boleh menyukarkan lagi usaha UMNO memujuk hati ahli parti serta pengundi untuk menerima hakikat pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini.
Ia terbukti apabila beberapa pemimpin UMNO mula bersuara menunjukkan rasa kurang selesa dengan gesaan tersebut termasuk pengundi yang menjadi pemerhati.
Misalnya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang berpendapat ahli dan penyokong UMNO perlu diberi hak serta kebebasan mengundi mana-mana calon pada PRN.
Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros pula memberi pandangan parti itu tidak perlu menjadi jurucakap rasmi kepada parti lain dan menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak wajar.
Turut senada, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang berpendapat UMNO tidak perlu berkempen begitu kerana dibimbangkan boleh disalah tafsir dan menimbulkan persepsi negatif terutama dalam kalangan pengundi UMNO.
Katanya, parti itu sepatutnya berusaha meyakinkan rakyat bahawa kerajaan berjaya dibentuk hari ini adalah yang paling terbaik.
Pandangan mereka sudah cukup memberi gambaran bukan semuanya sudah sepenuh hati dan rela hati menerima DAP.
Ia juga dapat dilihat pada hantaran ahli-ahli UMNO di laman Facebook sendiri yang tanpa berselindung memberitahu tidak bersedia memangkah DAP.
‘Alam perkahwinan paksa’
Walaupun pemimpin UMNO acap kali menjelaskan hubungan terjalin sebagai menuruti titah Yang di-Pertuan Agong, namun ia ternyata masih sukar untuk diterima.
Teorinya sama seperti ‘alam perkahwinan paksa’, bukan mudah untuk datangnya cinta. Ia mengambil masa, bukannya serta-merta.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Machang, Kelantan baru-baru ini pun turut mengakui parti itu berdepan tugas sukar untuk memujuk ahlinya menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu.
Namun, pada masa sama, beliau mempertahankan saranan supaya penyokong UMNO mengundi DAP atas alasan dalam suasana politik baharu, parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan perlu berhenti bernostalgia mengungkit kisah silam, sebaliknya terus ke hadapan mencari titik persamaan.
Kenyataan itu telah membuatkan MCA yang sudah lama duduk sebumbung dengan UMNO berkecil hati apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon mengeluarkan kenyataan mengingatkan Ahmad Zahid agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN serta Pakatan Harapan (PH).
Katanya, Ahmad Zahid perlu menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen BN, bukannya PH terutama DAP.
Dalam soal itu, UMNO tidak seharusnya menjadi kacang lupakan kulit, lupa dengan kesetiaan MCA yang tidak pernah meninggalkan keluarga Barisan Nasional (BN) meskipun parti tersebut teruk ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sepatutnya, UMNO perlu lebih bijak berkempen menawan hati pengundi, bukannya dengan cara meminta menyokong DAP kerana ia boleh memakan diri.
Tempoh yang berbaki menjelang PRN perlu digunakan sepenuhnya untuk menjelaskan kepada akar umbi tentang positifnya perubahan politik hari ini yang mampu berfungsi dengan baik demi kepentingan rakyat.
Buktikan juga kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan tidak berterusan bermain politik, sebaliknya terus mencari jalan meletakkan Malaysia kembali sebagai ‘Harimau Asia’.
Ini kerana sengketa politik yang tidak berkesudahan hanya menambah rosak kepada negara. Jadi berhati-hatilah berkempen meraih undi. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
* Syamilah Zulkifli ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan dan Melaka