SHAH ALAM - Grup Buku Karangkraf menawarkan lebih 1,000 buah buku dengan 70 judul baharu bagi terbitan 2023 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 yang akan bermula pada 26 Mei hingga 4 Jun.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Izzat Izhar Muhammad Nasir berkata, 70 judul berkenaan merangkumi novel, buku agama dan bahan bacaan umum.
"Pengunjung juga dapat menikmati jualan buku dengan harga serendah RM10 selain turut berpeluang menikmati diskaun 40 peratus bagi pembelian terpilih.
"Bagi peminat al-Quran cetakan Karangkraf, kita juga ada memperkenalkan al-Quran Multazam dengan saiz baharu iaitu B4 yang dilengkapi dengan tafsiran dan juga panduan tajwid yang tersusun,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Selain itu, Izzat juga memaklumkan, bagi pembaca yang merupakan peminat kucing, mereka boleh mendapatkan komik Oh My Jep yang memaparkan gambar haiwan comel itu di reruai mereka di Dewan Tun Hussein Onn.
"Kita juga turut mengadakan sesi bersama penulis, antaranya termasuk Temu Mesra penulis buku - Healing the Invisible Wound by Soul Fitness oleh Dr Rostam, Dr Rozanizam dan Dr Alizi pada jam 2 hingga 3.30 petang Sabtu ini (27 Mei).
"Turut diadakan pelancaran buku berjudul K-Lit yang menampilkan penulis Arman Jazee, Bahruddin Bekri, Azzah AR, Riley Fizan dan Nurkariema pada jam 2 hingga 4 petang Ahad ini (28 Mei),” tambahnya.
Beliau juga memaklumkan, mereka yang selalu mengikuti siaran rancangan My#QuranTime berpeluang bertemu dengan penceramah utamanya iaitu Fazrul Ismail bersama Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Tirmizi Ali pada jam 4 hingga 5 petang Ahad (28 Mei).
"Kepada orang ramai, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke reruai kami bagi mendapatkan bahan bacaan berkualiti dan terbaik dengan harga yang berpatutan.
"Jumpa di sana,” ujar Izzat.