Zii Jia, Jin Wei dalam momentum terbaik

Iklan
Zii Jia

PRESTASI jaguh perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia berada dalam tahap terbaik menjelang saingan Malaysia Masters 2023 yang menyingkap tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.

Itu rumusan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann terhadap pemain nombor lapan dunia itu selepas berakhirnya kempen Piala Sudirman 2023 di China, Ahad lalu.

Iklan
Iklan

"Untuk Zii Jia, dia mempamerkan prestasi yang stabil. Malah, dia juga berjaya atasi beberapa pemain bintang seperti pemain India, S Kidambi, pemain Taiwan, Chou Tien-chen dan Jeon Hyeok-jin dari Korea Selatan.

"Bagi saya, memang bukan mudah Zii Jia menewaskan nama-nama besar ini memandangkan dia menggalas tanggungjawab besar dalam pasukan negara pada Piala Sudirman.

Iklan

"Namun, apa yang saya lihat, Zii Jia sentiasa tenang apabila beraksi, sekali gus memberi keyakinan dan semangat kepada pemain pasukan Malaysia yang lain,” katanya.

Legenda badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek juga senada dengan Choong Hann apabila menyifatkan prestasi Zii Jia berada dalam ‘keadaan stabil’.

Iklan

"Sekarang Zii Jia lebih kepada menjadi underdog (pemain bukan pilihan) sebab saya tengok dia bermain tanpa sebarang tekanan. Jadi, itulah yang kita dapat lihat pada Piala Sudirman,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas prestasi pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, Choong Hann mengakui bekas juara remaja dunia dua kali itu berjaya menampilkan aksi memukau.

"Jin Wei merupakan antara pemain bintang pasukan negara terutamanya ketika berdepan India apabila dia berjaya menghadiahkan mata kemenangan pasukan negara.

"Dari awal kejohanan, dia sudah menampilkan persembahan luar biasa, cuma mungkin dia kurang bernasib baik ketika berdepan pemain Denmark, Mia Blichfeldt,” ujarnya.