SHAH ALAM- Cadangan pemerkasaan institusi perundangan yang dibawa oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) perlu disokong oleh pertubuhan atau organisasi yang terlibat bagi membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Setiausaha Agung Malaysia Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, usaha itu amat baik dan dapat memberi impak kepada negara sekiranya dapat dilaksanakan.
"Saya menyokong tindakan perubahan ini sekiranya setiap pakatan dan keputusan lantikan seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu lebih bebas.
"Reformasi institusi dan perundangan ini akan lebih berkesan sekiranya setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja melibatkan blok kerajaan, tetapi juga pembangkang. Baharu nampak perubahan,” tegasnya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Kumpulan tersebut mencadangkan reformasi institusi merangkumi pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, pemisahan peranan peguam negara daripada fungsi pendakwa raya, penggubalan akta perolehan kerajaan dan akta pendanaan politik, reformasi Parlimen dan implementasi penuh Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).
Tambah Rosdi, perubahan institusi perundangan adalah satu perubahan yang baik, namun sekiranya ia masih dalam keadaan yang sama maka masyarakat tidak mendapat manfaat yang sewajarnya.
Dalam pada itu, menurut Rosdi, terdapat perubahan positif yang dilakukan oleh Dewan Rakyat apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan bagi menjaga integriti dan kepercayaan terhadap wakil rakyat yang dipilih.
"Kita harap supaya ia memberi kebaikan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.