Rasuah boleh 'ragut' kemakmuran negara

Iklan
Gambar hiasan (Gambar kecil: Zairudin Hashim)

SHAH ALAM - Kemakmuran yang dikecapi hari ini mungkin akan musnah jika negara terus mencatatkan peratusan kes rasuah dan ketirisan yang tinggi pada masa akan datang.

Naib Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, anggaran kerugian yang dialami sehingga RM4.5 trilion memberi bayangan ngeri kepada negara jika rasuah tidak diperangi secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rasuah menyebabkan banyak cukai tidak dapat dikutip sehingga negara kehilangan punca pendapatan yang sepatutnya.

"Jika jenayah itu dapat dibendung, sudah tentu segala cukai dapat dikutip dengan sebaik-baiknya. Ia juga dapat digunakan untuk membaik pulih infrastruktur dan kemudahan sekali gus mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pada 11 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan Malaysia dianggarkan mencatat kerugian sebanyak RM4.5 trilion sepanjang tempoh 26 tahun lalu berdasarkan titik data secara terbuka mengenai rasuah di negara ini.

Dalam pada itu, Zairudin turut menjangkakan angka kerugian akibat rasuah dan ketirisan akan meningkat pada tahun ini.

Iklan

Tegas beliau, semua pihak termasuk rakyat perlu memainkan peranan bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi jenayah tersebut.

"Membanteras jenayah itu juga boleh dilakukan secara bersama-sama dengan menggabungkan rangkaian daripada rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta dan kerajaan,” ujarnya.

Justeru, Zairudin berharap agar Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melawan rasuah secara konsisten.

Tambah beliau, melihat kepada pendekatan dan dasar semasa Kerajaan Perpaduan dalam menentang korupsi, ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa negara telah ditabdir oleh sistem yang baik.

"Langkah utama yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah dengan menyediakan guiding ideas dan hala tuju ke arah negara membangun tanpa rasuah yang berleluasa.

"Seterusnya, perkara yang perlu diberi keutamaan adalah gerak kerja dan sikap serta ia juga perlu disusuli dengan mentaliti oleh semua pihak bahawa rasuah adalah perompak ekonomi negara dan meragut kemakmuran," katanya.