JUVENTUS tewas 1-4 kepada Empoli pada awal pagi Selasa, beberapa jam selepas dihukum pemotongan pengurangan mata susulan aktiviti perpindahan pemain secara tidak sah sekali gus menjadi tamparan hebat untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Kelab gergasi Turin itu berada satu mata di bawah Roma yang menduduki tempat keenam untuk kelayakan Liga Persidangan Europa.
Terdahulu, mahkamah rayuan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) mengumumkan potongan 10 mata Juventus.
Keputusan itu dibuat berikutan semakan semula hukuman pemotongan 15 mata dikenakan ke atas kelab itu kerana aktiviti perpindahan pemain yang melanggar peraturan.
"Apabila anda mendapati dipotong 10 mata beberapa jam sebelum bermulanya perlawanan, ia sememangnya sukar.
"Ia adalah tahun yang sangat memenatkan," kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.
Keputusan FIGC dan keputusan di Empoli juga bermakna Lazio, yang menggantikan Juventus di tempat kedua telah layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2020 dan hanya kali kedua sejak 2007.
Dengan berbaki dua perlawanan liga musim ini, Juventus yang ketika ini mengumpul 59 mata, masih boleh mengejar AC Milan di tempat keempat dengan 64 mata, iaitu slot terakhir ke Liga Juara-Juara.