Pas tak abai pembangunan, keperluan rakyat - Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Pengamat politik termasuk para ilmuwan yang meremehkan perjuangan Pas dalam menegakkan Islam, dengan seolah-olah menyatakan parti itu tidak peduli akan masalah keperluan kehidupan rakyat di negeri ditadbir mereka seperti air, barangan keperluan dan rumah kediaman adalah satu anggapan tidak matang berpolitik secara tabii.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihak mereka juga tidak mengambil kira bahawa kerajaan Pas juga gigih berusaha secara politik menurut tabii manusia yang wajib mengurus keperluan kehidupan rakyat.

Iklan
Iklan

"Tetapi, Pas menghadapi banyak sekatan oleh kerajaan Pusat, bermula dengan Kelantan sejak zaman Perdana Menteri sekarang menjadi Menteri Kewangan sehingga kini.

"Urusan kewangan yang wajib mengikut perlembagaan, perjanjian, dan prinsip demokrasi tidak dihormati. Royalti petroleum tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah, namun dinafikan kepada negeri yang diperintah oleh Pas.

Iklan

"Adakah kerana prinsip Islam yang dipegang oleh Pas? Kini, penafian hak ini diikuti pula oleh Terengganu, Kedah, dan Perlis yang dilengah-lengahkan dengan berbagai-bagai dalih bukannya dalil," katanya menerusi hantaran Facebook pada Selasa.

Menurut Abdul Hadi, Pas dapat membuktikan prinsip integriti dan tadbir urus beramanah walaupun dengan sumber kewangan yang terhad.

Iklan

Ujarnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kini bersama DAP pernah memerintah Kelantan pada tahun 1978 hingga 1990 dan ketika itu memiliki kemudahan kewangan namun masalah berkenaan tetap tidak dapat diselesaikan.

"Mengapa masalah itu tidak diselesaikan dan terus berkekalan? Apabila Pas mengambil alih pentadbiran, kami diperlakukan dengan begitu banyak sekatan atau birokrasi dilengah-lengahkan.

"Mereka tidak pula melakukan sedemikian kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dahulu dan terkini, Pulau Pinang. Pas tidak lupa.

Apabila Pas mula bertindak pada tahun 1990 dengan membatalkan premis perjudian dan penjualan arak dibenarkan kepada orang bukan Islam sahaja.

"Dalam keadaan lesennya di bawah Kementerian Kewangan yang menterinya adalah Perdana Menteri terkini yang berslogankan Madani, tetapi beliau tidak membantu dan bertindak sama mengikut Islam," jelasnya.

Tambahnya, DAP juga lantang menentang Pas walaupun langkah dan tindakan yang dilakukan oleh pihak mereka berkait dengan penganut Islam sahaja tanpa gangguan terhadap orang bukan Islam.

Katanya, selain itu apabila Pas bertaawun iaitu tolong-menolong dalam kebaikan dengan UMNO dan mencadangkan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 bagi meminda hukuman sebatan kepada hukum Islam yang bersifat mendidik turut mendapat tentangan beberapa pihak UMNO, DAP, termasuk PKR serta Amanah.

"Maka, sangat wajar jika UMNO kini bersekongkol dengan DAP membelakangi prinsip perjuangannya.

"Bagaimanapun, Pas akan terus teguh beristiqamah membawa mesej Islam dan menyedari wajib menunaikan kewajipan terhadap segala pembangunan kebendaan tanpa perlu sibuk mengumumkannya.

"Hal ini demikian kerana, sememangnya pembangunan kebendaan itu ialah perkara tabii yang wajib ditunaikan sekiranya mempunyai sumber kewangan yang mencukupi," kata beliau.