Kalimah ALLAH: Usul dibentang kepada Majlis Raja-Raja Melayu Julai ini

Iklan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Usul memperkemaskan peraturan melibatkan kes penggunaan kalimah ALLAH akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan itu dilakukan bagi memperkemaskan beberapa peraturan tertentu supaya keputusan berhubung kes penggunaan kalimah ALLAH dapat dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

"Tuanku Yang di-Pertuan Agong memperkenan supaya kertas Jemaah Menteri dan kita akan rujuk Majlis Kemajuan Islam yang dipengerusikan oleh Tuanku Sultan Selangor, akan memberikan beberapa pandangan memperkemaskan peraturan ini supaya keputusan muktamad (penggunaan kalimah ALLAH) tidak boleh dipakai di Semenanjung, boleh dengan syarat tertentu untuk Sabah dan Sarawak.

"Insya-ALLAH akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada bulan Julai nanti,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri sebelum menarik balik rayuan dalam kes kalimah ALLAH yang memberi implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Iklan

Pada 16 Mei, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan KDN menarik balik rayuan itu adalah melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah ALLAH.

Pada 17 Mei, Anwar berkata, Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ALLAH kepada Majlis Raja-Raja.

Ujar Anwar, langkah itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Sementara itu, Anwar menegaskan pandangan yang diterima pakai oleh kerajaan pada hari ini iaitu kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Jelasnya, tidak timbul soal bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu atau memberi ruang kepada golongan bukan Islam untuk menggunakan kalimah ALLAH seperti mana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

"Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperakui keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

"Satu, nama ALLAH tidak boleh digunakan di Semenanjung Tanah Melayu. Kedua, kelonggaran diberikan dengan syarat-syarat untuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya.