Peralihan dwirangkaian 5G: Implikasi kewangan kerajaan dikurangkan

Iklan
Perdana Menteri memberi jaminan peralihan model pelaksanaan 5G daripada rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian akan mengurangkan implikasi kewangan kepada kerajaan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan peralihan model pelaksanaan 5G daripada rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian akan mengurangkan implikasi kewangan kepada kerajaan dalam skala besar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, implikasi kewangan dapat dikurangkan melalui peralihan dasar 5G itu kerana ia membabitkan penglibatan syarikat telekomunikasi iaitu antara syarat yang ditetapkan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Menetapkan syarat semua telco menggunakan rangkaian DNB, struktur yang ada sehingga siap 80 peratus daripada rangkaian kemudian memastikan ketersambungan itu dijalankan termasuk di desa dan pedalaman.

"Sekiranya ini dipersetujui, maka setelah menggunakan kemudahan yang sama, syarikat telco yang mencatat keuntungan yang sangat baik selama ini dikehendaki melabur supaya menjamin keselamatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai kemungkinan keputusan kerajaan beralih daripada model rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian mengakibatkan beberapa kemudaratan kepada kerajaan dan kenaikan tarif 5G buat pengguna.

Mengakui sukar membuat keputusan mengenai peralihan rangkaian 5G berkenaan, Anwar berkata, kerajaan mendapat tekanan daripada pelbagai pihak yang mahu mengekalkan satu rangkaian dan tidak senang dengan sikap Malaysia yang lebih bebas untuk memilih sistem rangkaian yang dikehendaki.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri itu adalah untuk kepentingan keselamatan negara dan kebebasan negara untuk memilih dengan syarat-syarat yang ketat.

Selain pembiayaan rangkaian kedua kelak akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta (telco), beliau berkata, syarat kedua yang ditetapkan adalah harga yang ditawarkan kepada pengguna mestilah pada kadar yang rendah seperti yang ditetapkan bawah peraturan Digital Nasional Berhad (DNB).

Katanya, peralihan dwirangkaian tersebut juga memperkukuhkan peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) iaitu peraturan dan undang-undang akan diperkemas supaya agensi tersebut dapat mengawal secara lebih berkesan perjalanan syarikat telekomunikasi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pada 3 Mei lepas bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G negara beralih daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian atas beberapa justifikasi termasuk meningkatkan persaingan sekali gus menamatkan unsur monopoli yang dikaitkan dengan DNB.

"Kedua, menawarkan kepelbagaian rangkaian dan mengatasi isu titik kegagalan tunggal dalam model rangkaian borong tunggal dan melibatkan syarikat telekomunikasi yang ada supaya lebih terangkum dan menjamin kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia yang selama ini diterajui pihak swasta," katanya.

Anwar juga berkata, pengalaman negara bersama syarikat telekomunikasi selama ini tidak sangat memberangsangkan termasuk isu rangkaian, keselesaan kepada pengguna dan kos atau harga yang ditawarkan.

Beliau berkata, MCMC akan memberi perhatian mengenai hal tersebut khususnya melalui syarat dan peraturan ketat yang dikawalnya.

Justeru, katanya, pelaksanaan semasa bagi mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk adalah ditanggung bersama oleh DNB dan syarikat telekomunikasi.

"Syarat itu tidak boleh dilanggar, jika langgar aspek perjanjian dengan syarikat ini akan terbatal. Sebab itu, dalam kes 4G sekarang ini sangat tidak memuaskan kerana pengguna tidak mendapat manfaat walaupun syarikat mencatat keuntungan yang besar. Hal ini akan dipantau oleh SKMM (MCMC)," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berpendirian amalan monopoli dalam sebarang bidang seperti lebuh raya dan tenaga tidak boleh diteruskan, sebaliknya persaingan harus digalakkan agar boleh menjamin keselesaan dan kos yang lebih rendah kepada pengguna. - Bernama