Penyelarasan tarif elektrik T20 diumum dalam masa terdekat

Iklan
Nik Nazmi (kanan) pada sidang media selepas merasmikan ASEANGH2 2023. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Penyelarasan tarif elektrik kepada pengguna domestik golongan berpendapatan tinggi (T20) akan diumum dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan perlu melihat pelbagai faktor antaranya trend harga pasaran arang batu dan gas yang kini didapati sudah stabil berbanding beberapa tahun lepas, sebelum menyelaraskannya.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini kita sudah lama kekang harga itu (bahan api arang dan gas) pada harga yang sangat rendah...itu sebab peningkatan tarif agak drastik. Jadi itu satu faktor yang kena diambil kira.

"Oleh itu, menjawab soalan tentang bila kita nak buat (penyelarasan), insya-ALLAH dalam masa terdekat kita umumkan, bagi masa. Saya pun belum bincang dengan kabinet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN (ASEANGH2) 2023, di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, penyelarasan akan dibuat berdasarkan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan, bermula Julai hingga Disember ini.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan T20 tidak akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta Bantuan Kewangan Haji.

Iklan

Sementara itu, mengenai kos keseluruhan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang berjumlah RM10.9 bilion, Nik Nazmi berkata, kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM4 bilion berbanding RM15 bilion yang telah diumumkan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, penjimatan itu berjaya dicapai susulan kaedah perolehan yang lebih baik dilaksanakan kerajaan menerusi tender terbuka.

"Proses terbaharu ini (dan) cara baharu, dipercepatkan macam prakelayakan. Kalau nak buat sama ada reka bentuk binaan atau tender terbuka konvensional, ia akan makan masa yang sangat lama. Lagipun, pihak pembangkang juga bertanya bila nak mula projek RTB dan kita pun tahu projek ini sangat penting untuk rakyat, jadi kita nak percepatkan,” katanya.

Terdahulu, mengenai ASEANGH2, Nik Nazmi percaya negara ASEAN berpotensi menjadi hab hidrogen hijau terkemuka kerana mempunyai banyak sumber tenaga boleh diperbaharui dan lokasi strategik.

Beliau berkata menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), ASEAN berpotensi menjana lebih daripada 800 gigawatt (GW) tenaga solar, 300GW tenaga angin dan 200GW kuasa hidro.

Nik Nazmi berkata sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak di rantau ini memberikan kelebihan daya saing untuk menghasilkan hidrogen hijau, yang memerlukan sejumlah besar tenaga elektrik boleh diperbaharui.

"Kita juga bertuah berada dalam kedudukan strategik untuk mengeksport hidrogen hijau ke negara lain, di mana ASEAN mempunyai akses kepada laluan perkapalan utama, yang boleh digunakan untuk mengangkut hidrogen hijau ke pasaran di Asia, Eropah dan rantau lain di samping berada berdekatan dengan pusat permintaan utama hidrogen hijau, seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

"Ia akan menjadi satu pembaziran yang besar jika kita, sebagai ASEAN, gagal mengambil peluang ini untuk bekerjasama dan menerajui menjadi hab hidrogen hijau utama di pasaran global," katanya. - Bernama