KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneliti untuk mewujudkan rang undang-undang (RUU) bagi mengekang aktiviti ulat tiket, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, ketika ini negara tidak mempunyai peruntukan undang-undang bagi menangani aktiviti itu dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta kementerian lain yang terlibat, mengenai perkara tersebut.
"Saya telah berbincang dengan Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan memang pada waktu ini di Malaysia kita belum ada undang-undang yang bersifat antiulat tiket.
"Oleh sebab itu kita akan teliti bersama dengan kementerian-kementerian yang lain yang mungkin menganjurkan aktiviti program yang ada aspek penjualan tiket, sama ada secara dalam talian ataupun tidak, dan melihat apa peruntukan undang-undang yang perlu diwujudkan untuk mengelak masalah scalping ataupun ulat tiket ini daripada berulang di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini pada Selasa yang turut dihadiri Salahuddin.
Menyentuh isu penjualan tiket konsert kumpulan muzik terkemuka dunia, Coldplay, Fahmi berkata, pihak Live Nation Malaysia telah menjelaskan bahawa sebanyak 700,000 percubaan untuk pembelian tiket telah direkodkan dengan jumlah tiket yang telah dijual adalah 71,000 tiket menerusi 26,000 transaksi.
"Maka yang telah kami putuskan petang semalam adalah supaya di pihak KPDN dan juga Live Nation bekerjasama untuk mengenal pasti sekiranya wujud apa yang disebut sebagai aktiviti ulat tiket dan perkara ini memang pihak Live Nation ada mengenal pasti dan kita akan bekerjasama,” katanya.
Sebelum ini, terdapat rungutan orang ramai mengenai kesukaran mendapatkan tiket konsert Coldplay, yang dijadualkan pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, akibat ‘ulat tiket’ yang membeli dengan kuantiti banyak.
Sementara itu, Salahuddin berkata, rang undang-undang berkaitan ulat tiket itu tepat pada masanya, susulan perkembangan pelbagai industri semasa.
"Kita rasa sudah tiba masanya untuk kita lihat akta-akta ini, maka kolaborasi (bersama kementerian lain) ini penting kerana ia turut melibatkan perkara-perkara lain seperti masa depan (industri) bola, penjualan tiket bas dan tiket-tiket lain," katanya.
Mengenai isu penjualan semula tiket konsert Coldplay, Salahuddin berkata, sebanyak 28 aduan tidak rasmi mengenai perkara itu telah diterima kementerian.
"Pengguna dinasihatkan untuk bijak dalam melakukan pembelian tiket konsert berkenaan. Pilih saluran yang betul dan sekiranya pengguna merasakan mereka ditipu dalam pembelian tiket, segera maklumkan kepada KPDN untuk kita laksanakan siasatan," katanya. - Bernama