LATIHAN lebih setahun dalam sukan bot tradisional ternyata membawa kejutan buat 12 kru apabila mereka berjaya merangkul pingat perak dan gangsa dalam acara sukan itu pada Sukan SEA Kemboja pada 13 Mei lalu.
Salah seorang krunya, Ahmad Nuqman Hadi Ayob, 23, berkata, latihan intensif yang dilakukan sebelum ini, banyak membantu mereka dalam mencapai prestasi terbaik sekali gus membolehkan Malaysia menamatkan penantian selama 30 tahun untuk merangkul pingat dalam acara terbabit.
"Saya dan pasukan lain tak jangka dengan kemenangan itu, tapi apa yang boleh dikongsikan, kami semua gigih berlatih untuk perlawanan kali ini.
"Jadi, pada Sukan SEA lalu, kami berjaya buktikan usaha keras dan semangat berkumpulan yang tinggi memainkan peranan untuk kami memecahkan rekod dalam acara ini (tamat penantian)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Panching Utara pada Selasa.
Difahamkan pasukan yang disertai Ahmad Nuqman memenangi perak dalam acara 250 meter (m) 12 kru terbuka dengan catatan dengan masa 2 minit 09.54 saat (s) manakala
gangsa pula dimenangi dalam acara 800m pada kejohanan sama.
Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berkata, banyak cabaran yang dihadapinya ketika sesi latihan kerana sukan bot tradisional tidak seperti berkayak.
Ahmad Nuqman yang pernah merangkul emas dalam Kejohanan South East Asia Canoe Sprint Championship 2019 di Pattaya, Thailand memberitahu, sukan ini hanya memerlukan kayuhan sebelah yang memerlukan keseragaman ketika berdayung.
"Sukan ini, ia tidak seperti kayak, kalau kayak kita perlu gerakan dayung kiri dan kanan.
"Tapi sukan bot tradisional ini, kita perlu kayuh sebelah, agak sukar juga tetapi bila kita sudah buat persiapan awal dan latihan, semuanya berada dalam keadaan terkawal," ujarnya.
Ditanya mengenai cabaran yang dilalui pasukan ketika pertandingan, Ahmad Nuqman berkata, keadaan air pasang surut antara cabaran dilalui pasukannya dan memaksa mereka berkayuh dengan melawan arus.
"Pada waktu itu kami kena bersatu hati untuk kayuh demi untuk menang. Pada masa sama, kami perlu lawan kekuatan mental kerana bertemu dengan negara Thailand yang sememangnya pasukan berstatus juara dunia," ujar.