SEREMBAN - Pertukaran nama Jalan Temiang kepada nama pengasas DAP iaitu Dr Chen Man Hin tidak sepatutnya dijadikan sebagai isu perkauman oleh sesetengah pihak.
Setiausaha Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, ini kerana terdapat banyak nama jalan lain berbangsa lain di seluruh negara.
"Bila kita persoal nama jalan lain berbangsa Cina atau pun India, mereka kata itu semua pemimpin yang telah berjasa kepada negara ataupun negeri sekurangnya.
"Mending Dr Chen Man Hin seorang pemimpin yang sangat berjasa bukan saja kepada kaum Cina di Seremban tetapi berjasa kepada semua bangsa," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, beliau terkenal sebagai doktor yang amat prihatin dan bersedia memberikan rawatan secara percuma kepada golongan miskin di kliniknya di bandar Seremban.
Selain itu katanya, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang selama 17 tahun, Ahli Parlimen Seremban selama hampir 20 tahun dan beberapa tahun sebagai senator dewan rakyat.
"Adakah kerana mendiang dari parti DAP menyebabkan ada yang tak puas hati?
"Dari sudut demografi, jalan tersebut yang sepanjang 7.9 kilometer didiami oleh majoriti bangsa Cina dan pemilihan nama Dr Chen Man Hin menggantikan nama jalan Temiang yang baharu adalah bersesuaian dengan demografi penduduk di situ," katanya.
Edy Noor turut mempersoalkan kenapa tiada pihak yang membangkitkan nama baharu Jalan Sikamat yang ditukar kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza, sempena nama bekas Mufti Negeri Sembilan.
"Cukup-cukuplah mencetus semangat api perkauman, negara ini dambakan kestabilan dan keamanan," katanya.