KOTA BELUD - Seorang pelancong warga China lemas ketika melakukan aktiviti mandi di laut bersama keluarga dalam kejadian di sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 27 tahun diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun gagal diselamatkan sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.13 petang.
"Mangsa merupakan pelancong China yang menginap bersama keluarganya di pusat peranginan terbabit.
"Ketika kejadian mangsa bersama keluarga dan rakannya sedang mandi di kawasan pesisir pantai namun tidak lama kemudian, mangsa ditemukan dalam keadaan terapung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, usaha menyelamatkan mangsa segera dilakukan dengan bantuan CPR dan mangsa cuba dibawa keluar dari pulau berkenaan menggunakan bot untuk ke Kampung Rampayan Laut bagi mendapatkan bantuan.
"Perjalanan menuju ke kampung berkenaan mengambil masa kira-kira 45 minit dan setibanya di lokasi, pasukan perubatan mendapati mangsa telahpun meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 2.15 petang," katanya.