SERI ALAM - Tiga lelaki tempatan ditahan pada Selasa, bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Ulu Tiram pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 30 tahun itu, ditahan selepas laporan berhubung kejadian tersebut diterima pada jam 3.19 pagi, Selasa.
"Berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa menyatakan telah dirogol oleh empat lelaki warga tempatan secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Ulu Tiram antara jam 1 hingga 3 pagi, pada 14 Mei lalu.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Ulu Tiram, telah membuat tangkapan ke atas tiga suspek di kawasan Ulu Tiram antara jam 3.30 hingga 6 pagi, pada Selasa.
"Polis merampas dua telefon bimbit, dua keretan kain permukaan tilam yang terdapat tompokan disyaki darah dan sehelai kain cadar bercorak warna kelabu yang terdapat kesan didapati air mani," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohd Sohaimi, dua suspek didapati positif dadah dan turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Ketiga-ketiga mereka kini direman selama enam hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
"Polis masih memburu seorang lagi suspek berusia 27 tahun bagi membantu siasatan.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Addie Remie Jasmin di talian 013-8636345/07-386422," katanya.