KLUANG - Seorang wanita maut selepas kereta Nisan Almeera dinaikinya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 68 Jalan Yong Peng-Kluang dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 11.44 pagi itu antara kereta Toyota Vios dengan Nissan Almera serta melibatkan tiga mangsa termasuk pasangan suami isteri.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta Toyota Vios dipandu oleh Siti Suraya Mohd Pilos, 40, dari arah Taman Sri Lambak menuju ke Batu 4, Kluang manakala mangsa, Saleha Che Amat, 59, bersama suaminya Abdullah Mustafha, 51, dari arah bertentangan.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Toyota Vios dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku perlanggaran.
"Akibat perlanggaran itu, Saleha yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kenderaan di bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, Siti Suraya mengalami kecederaan patah paha sebelah kiri, tengkuk serta pendarahan di otak manakala Abdullah cedera di kening kiri dan sakit pinggang dan dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).
Ujarnya, mayat turut dirujuk ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata, sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati kedua-dua pemandu kenderaan terlibat tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum usaha mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dilakukan.
"Mangsa yang meninggal dunia, Saleha Che Amat disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang datang sejurus selepas kejadian. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.