Integrasi teknologi dron perlu dalam operasi harian - Anthony

Iklan
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melihat persembahan pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi - Foto: Bernama

LANGKAWI - Kementerian Pengangkutan menggalakkan syarikat dan industri dalam negara untuk mengintegrasikan penggunaan dron dalam operasi harian, agar mereka mampu untuk berkembang seiring dengan kemodenan teknologi semasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkembangan teknologi dron perlu diadaptasi dengan segera oleh pemain industri, memandangkan teknologi berkenaan mempunyai penggunaan yang meluas dan mampu untuk menyelesaikan beberapa isu dengan segera seperti kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu dron ini merupakan satu bidang baharu yang perlu dipelopori dan ia berkait rapat dengan Kementerian Pengangkutan, kerana dari segi kawal selia, dari segi peraturan ia terletak di bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"...jadi sudah tentu kita di pihak kerajaan mengalu-alukan dan juga ingin memudah cara kepada perkembangan dan pertumbuhan bidang dron ini kerana ia merupakan satu teknologi yang memang diperlukan pada ketika ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat reruai-reruai yang disediakan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada Selasa.

Ketika mengulas mengenai sambutan LIMA'23 pada hari pertama penganjurannya pada Selasa, Anthony berkata, beliau menerima maklum balas yang baik daripada tetamu-tetamu negara yang hadir pada Gambit Pembukaan yang berlangsung awal pagi tadi.

Iklan

"...rata-rata saya mendapat maklum balas yang cukup baik dari tetamu-tetamu negara terutamanya menteri-menteri dari negara luar yang masing-masing agak takjub dengan persembahan LIMA'23 pada kali ini bukan sahaja dengan saiz pameran tetapi juga pertunjukan-pertunjukan yang telah kita persembahkan," katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu juga berharap agar edisi LIMA'23 pada kali ini yang melibatkan kelolaan Kementerian Pertahanan (sektor pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (sektor komersial) dapat dijadikan sebagai platform untuk memperkenalkan kemampuan negara di mata luar. - Bernama