PETALING JAYA - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kebakaran bangunan lama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya masih menunggu laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Setakat ini, kita tidak menemui unsur jenayah dalam kes tersebut, kita akan mengambil tindakan selanjutnya setelah menerima laporan forensik itu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan bangunan lama Kumpulan KWSP sekali lagi terbakar selepas kejadian pertama pada Februari 2018.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.39 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
Seramai 20 anggota dikerah ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7, BBP Serdang, BBP Puchong, BBP Pantai Dalam dan BBP Hang Tuah.
Bangunan terbakar berkenaan hanya membabitkan tingkat empat dan tingkat lima, pihak Bomba dan Penyelamat dapat mengawal api jam 11.08 pagi.
Hafisham berkata, bangunan KWSP berkenaan telah dikosongkan sebelum ini dan kini sedang diubah suai.