KUALA LUMPUR -Keputusan pemindahan tapak Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) ke Jalan Raja adalah bukti kesanggupan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanggung tambahan kos dan menyelesaikan isu berbangkit.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata demikian menjawab persediaan DBKL yang kemungkinan menanggung kos tambahan dengan keputusan pemindahan itu berkuatkuasa 1 Ramadan ini.
Menurutnya, beliau meletakkan keyakinan tapak baharu itu akan mendapat sambutan berdasarkan lokasinya yang terletak hanya beberapa meter dari tapak asal.
"Kalau ada yang nak datang, datanglah. Tapi kalau tak nak datang nak buat macam mana? Namun setakat ini kami mendapat maklum balas yang baik berdasarkan lokasinya tak jauh dari lokasi asal, selesa dan cantik.
"Kita tengok sambutan orang ramai semasa Ramadan nanti. Setakat ini lebih 400 permohonan dibuat secara atas talian, khemah jenis 'Marquee tent' (khemah besar) akan dipasang esok (Rabu)," katanya pada sidang media khas di Menara 1 DBKL, hari ini.
Laporan Khas Sinar Harian semalam bertajuk 'Bazar Ramadan hilang seri' mendedahkan kebimbangan peniaga mengenai isu perpindahan lokasi tapak itu yang bakal menjejaskan pendapatan mereka jika kurang mendapat sambutan pengunjung.
Jalan TAR mempunyai nilai sentimental sendiri yang saban tahun didatangi pengunjung dari seluruh pelusuk negara sebagai lokasi wajib mencari kelengkapan Aidilfitri.
Jelas Khalid, keputusan pemindahan tapak baharu itu mengambil kira pelbagai aspek selain lokasinya dianggap strategik.
"Lokasinya dekat dengan Masjid Jamek, Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (ROL) adalah satu tempat yang dilihat jauh lebih menarik berbanding kedudukan Jalan TAR yang terletak di lorong belakang kedai, sempit dan ruang terhad.
"Saya harap semua pihak terbuka mencuba benda baru, kita lihat ia adalah cara terbaik dalam menjaga kebersihan lorong belakang Jalan TAR," katanya.
Tambahnya lagi, keadaan khemah dan gerai di Jalan TAR menyebabkan ruang menjadi sempit dan menyukarkan kerja pembersihan dilakukan.
"Penggantian khemah persendirian kepada Marquee tent adalah bukti kesanggupan DBKL menanggung tambahan kos, termasuk kebersihan dan keselamatan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Bazar Ramadan hilang ‘seri’