SHAH ALAM - Kemasukan lapan bekas pemimpin UMNO dalam Perikatan Nasional (PN) bakal memberikan impak kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, setiap pemimpin mempunyai kekuatan, pengaruh dan pengikutnya tersendiri.
Menurutnya, sudah pasti secara langsung tidak langsung ketokohan pemimpin ini akan memberikan sedikit impak khususnya kepada UMNO-BN kerana komposisi pemimpin yang keluar dari UMNO menunjukkan arah sokongan kepada pasukan atau parti yang lain ini adalah parti yang bersaing dengan UMNO.
"Memang secara tidak langsung UMNO akan menerima kesan, namun kesan itu tidak akan menyebabkan parti UMNO itu menjadi terkubur ataupun menjadi lemah.
"Ini kerana mereka (pemimpin itu) kuat dan mempunyai pengaruh kerana parti bukan kerana ketokohan dan juga faktor individu semata-mata,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri-398 ‘Kerajaan Perpaduan, ke mana undi Melayu?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Wacana yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut mengundang pemerhati politik, Iswardy Morni.
Ujarnya, mereka kena ingat dalam tempoh mereka memimpin dan menjadi pemimpin dalam parti, bukan sahaja sumbangan mereka yang kita lihat, tapi yang lebih besar adalah sumbangan dan juga peranan parti yang membina dan menyebabkan mereka berada di tempat mereka pada hari ini.
"Jadi siapa juga yang menjadi presiden atau pemimpin dalam UMNO-BN, sudah pasti ingin lihat satu kestabilan dan juga ingin bina semula negara kita dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan segala aspek dan tumpuan ini lebih besar dari kepentingan lain.
"Tekad politik ini diletakkan kesan kepada rakyat, saya yakin siapa juga pemimpin dalam UMNO-BN dan kalau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau pemimpin lain tidak berada dalam pucuk pimpinan, naratif dan perjuangan ini akan tetap diteruskan," katanya.
Jelasnya lagi, ini kerana pemimpin yang tidak bersetuju itu sudah berhijrah ke parti lain dan ianya tidak akan memberikan kesan dalam parti.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan terdapat lapan bekas pimpinan UMNO menyertai gabungan tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi PN Selangor bagaimanapun enggan mengumumkan nama pemimpin tersebut atas faktor keselamatan.