SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah dalam satu kenyataan berkata, apa sahaja barang kawalan yang diwartakan pasti akan ‘hilang’ sekejap daripada pasaran.
Sebaliknya, kata beliau, sekiranya sesuatu barangan yang tidak diklasifikasikan sebagai barangan kawalan atau barangan bersubsidi, tidak pula timbul isu sorok barang.
Antara barangan yang sering ‘hilang’ termasuk minyak masak, telur dan yang terbaharu, gula.
Jika ada yang masih ingat ataupun pernah terkesan kira-kira Disember tahun lalu apabila berita bekalan telur ayam habis di pasaran sehingga peniaga terpaksa buat catuan pembelian.
Kisah ‘kehilangan’ telur sebelum ini turut meresahkan bakal pengantin yang mahu melangsungkan perkahwinan kerana buah tangan untuk tetamu mungkin tidak dapat disediakan.
Umum mengetahui, bekalan akan dihantar pemborong ke pasar raya dan kedai runcit, namun margin keuntungan barangan kawalan yang kecil sering menjadi perdebatan yang tiada kesudahan.
Kelmarin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan, harga barangan asas yang dikawal kerajaan tidak meningkat meskipun timbul dakwaan mengenai kenaikan harga yang dibuat segelintir pihak.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemantauan sentiasa dilakukan penguat kuasa KPDN untuk memastikan harga barangan kawalan berada pada atau di bawah paras ditetapkan, selain meneliti secara terperinci aduan yang diterima.
Menteri turut menegaskan, kementeriannya memastikan 43 barangan kawalan yang menjadi keperluan asas tidak naik dan sesiapa yang ingkar akan berdepan tindakan.
Realitinya, kunci kata kepada penyelesaian isu ini ialah penyelarasan, penguatkuasaan dan juga kejujuran dalam urusan jual beli. Jika bergantung sepenuhnya kepada penguat kuasa untuk mengawal selia semua urusan, pasti tidak mampu.
Sebagai anggota masyarakat, laporlah segera jika mendapati berlaku kecurangan dalam urusan ini. Jangan biarkan ‘penyakit’ kian membarah. Pihak kementerian mempunyai pelbagai saluran aduan yang boleh diguna pakai.
Harus diingat, akhirnya misteri ‘kehilangan’ barang kawalan ini mangsanya ialah pengguna. Sampai bila-bila pun pengguna yang akan menanggung akibat daripada permainan sorok-menyorok ini.
Persoalan terbesar, adakah rakyat benar-benar rasa terbela dan terjaga?