Magendran gembira bersulam duka

Iklan
Magendran (kanan) berjaya menawan Gunung Everest tepat jam 11.55 pagi pada 23 Mei 1997.

SHAH ALAM - Perasaan gembira berbaur duka dirasai pendaki Gunung Everest pertama Malaysia, Datuk M Magendran.

Magendran sepatutnya gembira mengenang kembali detik indah berjaya menakluki gunung tertinggi di dunia itu tepat jam 11.55 pagi pada 23 Mei 1997 kerana hari ini (Selasa) menjadi ulang tahun ke-26 beliau memahat sejarah tersebut.

Iklan
Iklan

Namun insiden malang yang menimpa dua rakan pendaki di gunung itu pada Khamis lalu hingga salah seorangnya terkorban manakala seorang lagi masih hilang membuatkan beliau turut merasa duka.

"Sejak ekspedisi mendaki Gunung Everest dilakukan bermula 26 tahun lalu, ini kali pertama dalam sejarah berlaku kehilangan nyawa. Walaupun ada antara misi sebelum ini gagal tetapi tidak sampai ada yang terkorban.

Iklan

"Jadi inisiden ini agak mengganggu perasaan saya kali ini dan diharapkan rakan pendaki yang masih hilang, Muhammad Hawari Hashim, 33, dapat ditemui dengan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini dilaporkan, pendaki program Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian di gunung tertinggi dunia berkenaan.

Iklan
Magendran ketika ini berada di Pulau Sibuan, Semporna, Sabah kerana mengikuti Program Jelajah Ilmu.

Ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Hawari sedang melakukan pendakian pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut sebelum terjatuh.

Muhammad Hawari pula dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan turun selepas berjaya menawan puncak gunung tersebut.

Magendran, 60, memberitahu, beliau juga turut sedih kerana tidak berada di samping keluarga dan rakan-rakan pada hari ulang tahun menawan Everest kali ini kerana berada di Pulau Sibuan, Semporna, Sabah atas tuntutan tugas.

Beliau yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, di sini, ketika ini mengikuti Program Jelajah Ilmu bersama rombongan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Daerah Petaling Perdana.

"Namun hikmahnya saya dapat lihat panorama indah Pulau Sibuan dengan laut membiru dan pasir yang memutih. Ini pertama kali saya jejakkan kaki ke pulau ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Magendran menggesa insiden yang menimpa pendaki ME2023 disiasat secara terperinci agar kelemahan yang berlaku dapat diperbaiki dan ia dapat dijadikan iktivar bagi pendaki dalam misi-misi seterusnya.

"Kita perlu perbaiki kekurangan-kekurangan itu. Klalau katakan masa latihan perlu ditambah, maka ia perlu dibuat untuk pastikan pendaki betul-betul bersedia untuk lakukan pendakian.

"Dari segi peralatan keselamatan pula perlu dikenal pasti jenis peralatan atau peranti keselamatan yang perlu dibawa bagi menyelamatkan nyawa saat kecemasan. Langkah-langkah ini perlu diambil memastikan keselamatan pendaki ini terjamin atau sekurang-kurangnya pendaki akan lebih berhati-hati," syornya.