BANGKOK - Panda gergasi Lin Hui yang mati pada bulan lepas disahkan mengalami darah beku akibat faktor usia yang sudah tua.
Lin Hui yang berusia 21 tahun yang dipinjamkan China kepada Thailand tinggal di dalam kandang berhawa dingin di Zoo Chiang Mai sejak 2003 mati pada 1.10 petang (waktu tempatan), 19 April.
Pengarah Zoo berkenaan, Wutthichai Muangman berkata, pasukan pakar dari Thailand dan China telah menjalankan bedah siasat, mengumpul dan memeriksa lebih 50 sampel biopsi.
"Hasil bedah siasat mendapati Lin Hui mengalami masalah dalam saluran darah atas faktor usia, mengakibatkan berlaku darah beku dalam organ yang menjadi punca kepada kematiannya.
"Lin Hui juga mengalami pendarahan di hidung akibat tumor," katanya dalam satu kenyataan.
Media tempatan melaporkan, Thailand perlu membayar pampasan 15 juta baht atas kematian Lin Hui itu.
Panda gergasi berkenaan dilahirkan pada September 2001 dan berpindah ke Thailand pada 2003 dan telah tinggal di zoo sejak itu. Dia sepatutnya pulang ke China pada Oktober tahun ini.
Lin Hui dan pasangannya Chuang Chuang adalah sebahagian daripada diplomasi panda Beijing yang dihantar ke negara lain sebagai simbol persahabatan.
Dua panda gergasi itu dipinjamkan ke Thailand sejak 2003. Lin Hui kemudian melahirkan Lin Ping pada 2009. Lin Ping telah dihantar pulang ke China pada 2013.
Pada 2019, Chuang Chuang mati akibat serangan jantung. - Bernama