Kelewatan RUU Anti Lompat parti bukan disengajakan - Armizan

Iklan
Armizan

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bukan sengaja dilewatkan sebaliknya kerana proses kajiannya yang menyeluruh dan mengambil masa demi kestabilan politik, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, pelbagai prosedur telah dilaksanakan yang membolehkan RUU itu dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini.

Iklan
Iklan

"Apa yang dilakukan di Sabah sebenarnya adalah kita melihat kepada peruntukan undang-undang yang diluluskan di peringkat Persekutuan.. Jadi kita perlu pastikan adanya keseimbangan bukan sahaja dari segi parti tetapi juga hasrat dan suara rakyat.

"Kajian dilakukan berdasarkan maklum balas daripada pelbagai pihak dan kemudiannya Pejabat Peguam Besar Negeri merumuskan dan cuba menggubal draf undang-undang tersebut. Setelah selesai dibentangkan ke Kabinet dan Kabinet bersetuju, maka RUU tersebut telah siap untuk dibentangkan pada sidang DUN (Sabah) yang telah bermula, dan dijadualkan pada Khamis ini," katanya.

Iklan

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan Parlimen, di sini pada Selasa.

Armizan berkata, RUU Anti Lompat Parti yang memasukkan peruntukan menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti itu, menekankan tiga asas utama iaitu menjunjung prinsip demokrasi, menghormati hak rakyat melalui proses pilihan raya dan mewujudkan kestabilan kerajaan.

Iklan

Menurutnya, GRS memberi sokongan penuh dan berharap agar RUU berkenaan diluluskan dengan mendapat sokongan melebihi dua pertiga sekali gus diberi komitmen penuh oleh semua parti politik terlibat pada persidangan Khamis ini.

"RUU ini juga telah melalui sesi libat urus bersama ADUN GRS dan Pakatan Harapan, mereka telah bersetuju supaya RUU ini dibentangkan. Kita mengharapkan komitmen daripada semua pihak untuk kita membawa nilai tambah kepada perjalanan politik di Sabah.

"Ini bukanlah masa untuk kita cuba polemikkan perkara ini, berlagak suci ataupun cuba memposisikan mana-mana parti sebagai mangsa.. kerana hakikatnya pelbagai pihak, 'aktor-aktor' politik sedia ada di Sabah terkesan dengan insiden lompatan ini," katanya.

Mengambil contoh insiden pertukaran kerajaan Sabah pada 2018, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berikutan tindakan lompat parti, Armizan berkata, persidangan pada Khamis ini menjadi titik penting untuk membawa kestabilan politik di negeri itu.

"Kenyataan yang mengaitkan RUU ini adalah satu pendekatan untuk memperkukuhkan pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah) bagi saya satu kenyataan kurang tepat.. hakikat sebenar di Sabah, sejarah lompat parti ini berlaku bukan hanya pada masa ini tetapi sudah berlaku sekian lama.

"Bagi saya sudah tiba masanya, kini di hadapan mereka sudah terbentang RUU itu. Insya-Allah komitmen akan diberikan oleh semua pihak. Jangan disebabkan politik sempit kita menghalang perkara baik ini daripada diteruskan," katanya.

Pada Ahad lepas, Hajiji mengesahkan RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam sidang DUN Sabah yang bermula Selasa. - Bernama