SHAH ALAM - Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung Dasar Generasi Penamat (GEG) masih kurang jelas dari segi kawalan kandungan, pembungkusan dan juga aktiviti pemasaran serta penjualan supaya industri dapat membuat persediaan untuk peralihan dalam perniagaan.
Presiden Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM), Mohd Sabri Ismail berkata, ramai usahawan yang terlibat dalam industri itu bakal gulung tikar di masa hadapan jika cadangan GEG diluluskan.
"Kami memahami pendirian KKM berkenaan perkara ini, tetapi kerajaan perlu mencari titik tengah agar semua pihak dapat mengambil langkah untuk membuat kawal seliaan ke atas industri vape.
"Buat masa ini butiran penting berkenaan kawal selia ke atas industri masih tiada perbincangan yang mendalam,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, pemain industri vape masih tidak mendapat sebarang panduan berkenaan had nikotin dalam cecair vape atau larangan berkenaan kandungan.
Jelasnya, perkara tersebut perlukan perbincangan supaya kawalan yang ditentukan mengikut keperluan pasaran dan ketetapan di tahap antarabangsa seperti di negara lain.
"Semua butiran berkenaan kawal selia perlu dibuat secara telus bersama industri supaya perbincangan dapat dibuat.
"Pada masa ini industri tiada hala tuju berkenaan tatacara peraturan dan ini menyebabkan ketidaktentuan kepada pihak industri.
"PPVM juga memohon agar KKM membuat sesi libat urus supaya perbincangan dapat dibuat berkenaan butiran peraturan dan kawal selia,” katanya.