Rangka dasar beri pampasan tanaman rosak akibat haiwan liar

Iklan
Nik Nazmi

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang merangka satu dasar baharu berhubung pemberian pampasan terhadap pekebun atau pemilik tanaman yang mengalami kerugian disebabkan konflik manusia dan haiwan liar.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, rangka dasar tersebut masih di peringkat perbincangan dengan kementerian-kementerian yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Perbincangan telah dimulakan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan NRECC dan Bicara Biodiversiti di sini pada Rabu.

Ujar beliau, dasar tersebut penting bagi mengurangkan ketegangan orang ramai yang mengalami kerosakan harta benda dan tanaman disebabkan haiwan liar.

Iklan

"Untuk kematian dan kecederaan, kerajaan memang sudah beri sagu hati tetapi isunya sekarang adalah apabila berlaku kerosakan kepada tanaman dan sebagainya ia akan menyebabkan kemarahan orang ramai serta ambil tindakan yang akan memberi kesan kepada hidupan liar," kata beliau.

Menurut Nik Nazmi, perincian dasar itu penting terutamanya melibatkan kebun yang terletak di kawasan hutan simpan.

Iklan

"Kalau kebun berada di dalam kawasan hutan simpan atau dibuat tanpa mengambil kira dasar, sukar untuk kerajaan membayar pampasan," ujarnya.

Menurutnya, situasi berbeza sekiranya kebun berada dalam kawasan pertanian dan hidupan liar yang merosakkan tanaman tersebut.

"Jadi kita mahu polisi ini diselaraskan," katanya.

Selain itu, antara perkara yang turut dipertimbangkan dalam rangka dasar itu adalah peningkatan kawasan yang diteroka serta dibangunkan.

"Kita akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk mencari penyelesaian," katanya.

Terdahulu semasa sesi dialog, Nik Nazmi menyuarakan kebimbangan sekiranya dasar itu tidak diperkenalkan, konflik manusia dan hidupan liar akan menjadi lebih serius.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang.