11 termasuk 3 rakyat Malaysia ditahan polis Indonesia

Iklan
Polis Indonesia menumpaskan kegiatan menyeludup PATI dengan penahanan 11 individu, termasuk tiga warga Malaysia di Batam, Kepulauan Riau. - Gambar hiasan 123RF

JAKARTA - Polis Indonesia menumpaskan kegiatan menyeludup pendatang tanpa izin (PATI) dengan penahanan 11 individu, termasuk tiga warga Malaysia di Batam, Kepulauan Riau.

Kesemua suspek terlibat dalam enam kes pada April dan Mei yang dipercayai bertindak menguruskan kemasukan PATI dari Batam ke Malaysia termasuk menggunakan bot laju melalui ‘laluan tikus’.

Iklan
Iklan

Pesuruhjaya Polis Barelang, Nugroho Tri Nuryanto berkata, seorang suspek warga Malaysia berumur 44 tahun ditahan di Pelabuhan Internasional Harbourba pada 30 April.

"Suspek juga mengendalikan urusan visa pelancong yang tamat tempoh bagi membolehkan PATI dapat meneruskan kerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Dalam satu lagi kes, sepasang suami isteri warga Malaysia berumur 54 tahun dan 50 tahun ditahan di Pelabuhan Ferry Harbour Bay pada 15 Mei.

"Suspek yang mempunyai syarikat di Malaysia datang ke Batam untuk menjemput PATI,” katanya.

Iklan

Seramai 13 mangsa dari Nusa Tenggara Timur, Pulau Jawa dan Pulau Sumatera telah kembali ke tempat asal dengan kerjasama Balai Pelayanan Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (BP3MI).

Siasatan polis mendapati suspek menerima bayaran antara RM1,400 dan RM1,800 untuk mengurus kemasukan PATI dan mendapat lima juta rupiah (RM1,539) daripada setiap mangsa.

Suspek disyaki melanggar Fasal 81 dan Fasal 83 mengenai Perlindungan Tenaga Kerja dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum 15 juta rupiah atau RM4.6 juta. - Bernama