LANGKAWI - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu melahirkan harapan agar Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) akan mengukuhkan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan berbuat demikian akan membolehkan negara bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.
"Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua menteri peneraju bersama LIMA ’23, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, serta pasukan masing-masing yang memacu inisiatif ini.
"Saya juga mahu memuji Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan pasukannya, khususnya Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) kerana berjaya menerajui buat julung kalinya SpaceTech Nexus di LIMA tahun ini,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena LIMA ‘23, di sini pada Rabu.
Anwar berkata, dengan adanya SpaceTech Nexus, menunjukkan bahawa LIMA ‘23 adalah acara berfokuskan masa depan dan bersedia memainkan peranan dalam pertumbuhan teknologi angkasa yang dijangka mencapai nilai pasaran global AS$10 trilion menjelang 2030.
Anwar juga berkata, LIMA '23 telah mengukuhkan kedudukannya sebagai acara yang merangkumi sektor aeroangkasa dan maritim dari aspek ketenteraan dan awam.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memberi penghargaan atas sokongan daripada pelbagai rakan kongsi yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara dwitahunan berprestij itu.
"Menakjubkan dalam tahap sokongan dan pengiktirafan yang diberi kepada Malaysia dan saya juga harus menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan kita dari negara-negara yang mengambil bahagian dalam majlis ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kita," katanya.
LIMA '23 bertemakan"Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia" bermula semalam hingga 27 Mei.
Edisi tahun ini melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (sektor pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (sektor komersial).
Kali terakhir acara dwitahunan itu diadakan pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik Covid-19. - Bernama