'Langkawi ini Kedah punya bos' - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) bersama Anthony Loke (kiri) serta Exco Kedah, Mohd Firdaus Ahmad menyaksikan persembahan udara yang menakjubkan. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

LANGKAWI - Kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ke majlis pembukaan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) mencuri tumpuan.

Beliau yang berpakaian lengkap Laksamana Pertama (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kelihatan tersenyum lebar ketika tiba menyaksikan acara gemilang tersebut.

Iklan
Iklan

Muhammad Sanusi menyifatkan penganjuran LIMA’23 sebagai yang terbaik setakat ini sepanjang acara berprestij itu berlangsung sejak 1991.

"Ini adalah LIMA pertama buat saya sebagai Menteri Besar, saya bangga melihat persembahan maritim kerana mengenali ramai anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) yang terlibat. Saya juga teruja melihat keupayaan dan persiapan yang dibuat, termasuk aset yang dipamerkan semakin canggih,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini pada Selasa.

Iklan

Majlis pembukaan dan resepsi LIMA’23 dirasmikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Padang Matsirat.

Beliau percaya kerjasama erat agensi-agensi bawah kerajaan negeri menambahkan lagi kelancaran penganjuran LIMA’23 yang mendapat penyertaan terbesar daripada 18 buah negara.

Iklan

Menurutnya lagi, ia merupakan pencapaian membanggakan buat Langkawi, khususnya Kedah selaku ‘tuan rumah’ kepada penganjuran peringkat antarabangsa.

Muhammad Sanusi turut meninjau ruang pameran bagi menyaksikan peralatan canggih sistem pertahanan di LIMA’23. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

"Saya lihat semua persiapan berjalan lancar dan bagus, saya rasa LIMA’23 adalah yang terbaik setakat ini, sangat membanggakan. Langkawi ini kan Kedah punya lah bos,” katanya dengan senyum lebar.

Muhammad Sanusi yang hadir pada acara pembukaan LIMA23 di MIEC Padang Matsirat bagi segmen aeroangkasa turut mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan segmen maritim di Resort Word Langkawi (RWL).

Antara pertunjukan udara yang mempesonakan hadirin ketika majlis pembukaan LIMA’23. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut meminta orang ramai khususnya penduduk tempatan tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan dan pameran aset ketenteraan sepanjang berlangsungnya LIMA’23.

"Saya difahamkan persembahan aerobatik turut membabitkan pasukan Malaysia dan negara lain, bukan mudah untuk bawa pasukan luar kerana kos membawa satu pesawat dibayar berjuta, tetapi mereka datang percuma.

"Ini suatu pengiktirafan kepada Kedah, mungkin kerana LIMA tidak diadakan selama empat tahun, menyebabkan mereka teruja dan beri sokongan penuh kepada kita untuk sama-sama menjayakannya,” katanya.