V-DARK serlah bakat tempatan dalam perisikan siber

Iklan
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsudin (kanan) menyampaikan tanda penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena pelancaran V-DARK pada Rabu.

SHAH ALAM - Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab global untuk teknologi siber bertaraf dunia dengan pengenalan sebuah rumusan perisikan siber iaitu 'V-DARK'.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, ia dibangunkan oleh cabang keselamatan siber Kumpulan Sapura, Velum Labs Sdn Bhd untuk menentang ancaman siber yang ditimbulkan kumpulan Ancaman Berterusan Lanjutan (APT), sindiket jenayah kewangan terancang dan perusahaan sasaran musuh yang lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, V-DARK juga boleh digunakan oleh pemain dalam industri kritikal seperti perbankan komersial, pertahanan, insurans, penerbangan, tenaga dan telekomunikasi dalam mengukuhkan daya tahan siber mereka.

"Pelancaran V-DARK ini menunjukkan keupayaan produk tempatan yang terdiri daripada pasukan jurutera berbakat dan pakar dalam menyampaikan rumusan siber termaju.

Iklan
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri); Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsudin pada pelancaran V-DARK di LIMA 2023 di Langkawi, pada Rabu.

"Di Velum Labs, kami terlibat dengan firma kejuruteraan di seluruh dunia yang menggunakan teknologi terbaik untuk membolehkan pemindahan pengetahuan dua hala strategik dalam membina set pengetahuan serta kemahiran diperlukan dalam metodologi serangan siber.

"Dengan berbuat demikian, kami memudahkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan serta membangunkan kecerdasan siber generasi akan datang dan rumusan keselamatan siber bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi untuk negara berdaulat lain," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Terdahulu, pelancaran V-DARK telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23).

Velum Labs dan Sapura kini berada di LIMA '23 yang mempamerkan teknologi buatan sendiri di bawah Merevolusikan Keupayaan Siber dan Ketenteraan Malaysia Untuk Era Digital.

LIMA '23 menampilkan lebih 600 peserta pameran dari 20 negara termasuk pemain industri global dari China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Belanda, Pakistan, Arab Saudi, Singapura, Korea Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Emiriah Arab Bersatu.