Kes dadah: Penganggur diperintah bela diri, kekasih dibebaskan

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas empat pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama, Mohammad Adhib Kabhir Yazid, 35, di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Sementara itu, mahkamah melepas dan membebaskan teman wanitanya, Dayang Amiza Mohd Yusof, 40, tanpa perlu dipanggil membela diri atas pertuduhan sama.

Ia selepas mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua itu, yang diwakili peguam, Haris Salleh.

Iklan

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, dadah berkenaan berada dalam milikan tertuduh pertama dan kedua.

Ia dijumpai dalam kereta yang dipandu Mohammad Adhib sementara tertuduh kedua duduk di bahagian penumpang.

Iklan

Menurutnya, tertuduh pertama mempunyai kuasa untuk berurusan dengan dadah berkenaan, bukannya tertuduh kedua.

"Kelakuan tertuduh pertama memecut kereta selepas diarah berhenti oleh pihak polis menunjukkan dia mengetahui bahan itu berada dalam kereta berkenaan namun tidak tidak boleh dikaitkan dengan tertuduh kedua.

"Saya dapati kes prima facie bagi semua pertuduhan dan niat bersama gagal dibuktikan maka tertuduh kedua dilepaskan dan dibebaskan dari semua pertuduhan tanpa panggil bela diri.

"Mahkamah dapati kes prima facie dapat dibuktikan terhadap tertuduh pertama bagi semua pertuduhan dengan pindaan pertuduhan,” katanya.

Mohammad Adhib kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama; berdiam diri; kedua memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang keterangan secara tidak bersumpah; atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

Mohammad Adhib Kabhir kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Mengikut tiga pertuduhan asal, mereka didakwa bersama-sama dalam milikannya dadah berbahaya, iaitu ganja dengan berat bersih 5.22 gram berat; heroin (0.08 gram), monoacetylmorphines (3.61 gram) dan flualprazolam (3.64 gram) di Batu 6, Jalan Cheras, di sini pada jam 2.30 pagi, 14 Jun 2021.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh bawah Seksyen 12(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tidak lebih dari empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat asal pula, mereka bersama-sama didakwa mengedar dadah berbahaya methamphetamine berat bersih 60.65 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dengan dakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan hukuman gantung sampai mati.

Semasa prosiding, Muhammad Jamil meminda pertuduhan asal dengan menggugurkan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan baharu itu kemudiannya dibaca semula dan tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan pindaan berkenaan.

Prosiding yang bermula November 2022 lalu, telah memanggil lima saksi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, J Kuldeep Kumar.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Julai depan untuk perbicaraan bela diri.